Dari Menjadi “Pesawat Gen-5” Iran, Qaher-313 Kini Bakal Dijadikan Dron Sahaja
Selepas “mendiamkan diri” untuk beberapa ketika, pihak tentera Iran baru-baru ini mengumumkan bahawa “pesawat generasi kelima” Qaher-313 akan dijadikan pesawat tanpa pemandu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Hampir 10 tahun lalu, Iran telah memperkenalkan kepada dunia pesawat pejuang “generasi kelimanya” yang dinamakan Qaher-313 (Conquerer atau Penakluk) dalam satu majlis gilang-gemilang dihadapan presidennya pada ketika itu, Mahmoud Ahmadinejad.
Pentadbiran Iran pada ketika itu mendabik dada bahawa pesawat pejuang generasi kelima buatan Iran Aviation Industries Organisation (IAIO) itu adalah lebih hebat daripada pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat iaitu F-22 “Raptor” dan F-35 “Lightning.”
Teheran mendakwa Qaher-313 adalah “antara pesawat pejuang paling canggih di dunia” pada ketika ini dan menyertakan ciri-ciri seperti kelincahan yang tinggi dan berkemampuan membawa pelbagai peluru berpandu.

Pendedahan “pesawat pejuang generasi kelima” milik Iran itu telah disambut dengan perasaan was-was dan skeptikal oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa dan pakar-pakar penerbangan, yang tidak mempercayaai dakwaan bahawa Teheran telah berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.
Pakar-pakar ketenteraan Barat menyifatkan pesawat pejuang gen-5 Iran itu tidak ubah seperti peralatan prop untuk industri perfileman Hollywood dan tidak mencapai tahap untuk menjadi pesawat pejuang generasi masa kini.
Malah untuk memanggil Qaher-313 pesawat pejuang generasi keempat juga menurut mereka, adalah sesuatu yang tidak sesuai.
Rekabentuk pesawat itu serta saiznya menurut mereka, memiliki terlalu banyak kesalahan daripada segi kejuruteraan avionik menyebabkan mereka percaya bahawa Qaher-313 itu tidak lebih adalah alat propaganda pihak pentadbiran dan ketenteraan Iran pada ketika itu.
Malah pakar-pakar ketenteraan Barat juga mempersoalkan keadaan kokpit pesawat pejuang gen-5 Iran itu yang menurut mereka yang bukan sahaja tidak menunjukkan ciri-ciri gen-5 tetapi juga adalah “terlalu asas” dan lebih sesuai untuk pesawat persendirian yang kecil.

Qaher-313 juga dibina dengan bahagian nose section yang terlalu kecil sehinggakan tidak ada radar yang boleh dimuatkan di dalamnya, manakala bahagian air intakes juga disifatkan terlalu kecil untuk pesawat pejuang gen-5 atau apa-apa pesawat pejuang.
Menurut pakar-pakar penerbangan yang pesisimis, bahagian air intakes yang terlalu kecil itu lebih sesuai untuk dron dan bukan untuk pesawat pejuang.
Comments are closed.