Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kebanyakan Perolehan Senjata Negara Akan Dilakukan Secara “G-to-G”, Elak Ketirisan

Tindakan kerajaan melakukan rombakan besar-besar terhadap proses perolehan aset-aset pertahanan negara dengan memilih urusan di antara kerajaan-dengan-kerajaan (Government-to-Government), sekaligus akan mengurangkan pembabitan individu yang bertindak sebagai “ejen-ejen” kepada syarikat senjata.

0 3,802

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kebanyakan daripada aset-aset pertahanan negara akan diperolehi menerusi urusan di antara kerajaan-dengan-kerajaan (Government-to-Government) bagi mengelak berlakunya ketirisan dalam proses perolehan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sekaligus akan mengurangkan pembabitan individu yang bertindak sebagai “ejen-ejen” kepada syarikat senjata.

Bercakap di Dewan Rakyat ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 hari ini, Perdana Menteri berkata, hanya mereka yang “berkepakaran berkaitan tentera” boleh menentukan tentang bekalan senjata yang diperlukan oleh negara.

Minyak
(ATM)

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara pokok bagi memperkasa kubu negara.

“Pertama: anjakan utama Pengukuhan Keselamatan dan Pertahanan Negara mensyaratkan agar ketirisan dalam tatacara perolehan aset segera ditangani bagi menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara.

“Seluruh sistem perolehan telah dirombak untuk menetapkan supaya bekalan senjata yang diperlukan ditentukan oleh kepakaran berkaitan tentera, mengelak daripada ketirisan, dan dalam kebanyakan urusan akan menerusi pendekatan G2G dengan negara masing-masing,” kata Perdana Menteri.

Kerajaan menurutnya terus melipatgandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Justeru, Kerajaan bersetuju untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan melalui perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai, dron, Littoral Mission Ship, helikopter dan pesawat tempur ringan,” katanya.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM (credit to the owner of the pix)

 

Anwar berkata, perkara pokok yang kedua melibatkan usaha mengoptimumkan kawalan keselamatan di sempadan melalui beberapa projek.

Antara projek-projek itu melibatkan menaik taraf pusat kawalan operasi dan pembinaan baharu pangkalan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan menaik taraf Sistem Pengawasan Maritim Laut dan menara radar penderiaan jauh.

“Projek-projek lain melibatkan naik taraf dan pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di pintu masuk terpilih, pembinaan baharu pos keselamatan ATM di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia dan pembangunan pangkalan tentera laut di Bintulu, Sarawak,” kata Perdana Menteri.

Perkara pokok yang ketiga kata beliau melibatkan usaha kerajaan akan terus memerangi jenayah siber yang semakin berleluasa.

“Hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan dalam tempoh 2021 hingga Julai 2023. Justeru, Kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber,” kata Perdana Menteri. — DSA

ATM
Kredit ATM

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...