Kapal Layar “Puteri Mahsuri” Yang Dilapor Hilang Berjaya Ditemui Semula
Posisi terakhir kapal layar "Puteri Mahsuri" sebelum insiden kehilangannya itu adalah pada kedudukan 14 Batu Nautika, Barat Pulau Rebak, Langkawi dan dipercayai telah hanyut akibat rantai sauhnya yang terputus sewaktu kapal layar itu bersauh di perairan pulau peranginan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal layar “Puteri Mahsuri” yang telah hanyut dan hilang di perairan Langkawi sejak Isnin lalu, telah berjaya ditemui semula oleh kapal friget Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu kira-kira pada 1 tengah hari semalam.
Turut sama ditemui oleh KD Lekiu adalah empat orang anak kapal termasuk nakhodanya warga Myanmar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM hari ini menerusi media sosial miliknya, Markas Wilayah Laut 3 terlebih dahulu telah menerima maklumat dari Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi berhubung laporan kehilangan kapal layar tersebut melalui rakan kepada pemilik kapal layar itu iaitu Captain William Foo pada jam 8 pagi.
Operasi CARILAMAT telah diaktifkan tidak lama selepas itu pada jam 10.30 pagi.
Posisi terakhir kapal layar Puteri Mahsuri sebelum insiden kehilangannya itu adalah pada kedudukan 14 Batu Nautika, Barat Pulau Rebak, Langkawi dan dipercayai telah hanyut akibat rantai sauhnya yang terputus sewaktu kapal layar itu bersauh di perairan pulau peranginan itu.
Bertindak pantas menerusi maklumat yang disalurkan, KD Lekiu yang berada di lapangan telah diaturgerakkan ke lokasi bersama helikopter Fennec TLDM untuk usaha pencarian udara.
Usaha pencarian telah membuahkan hasil dan KD Lekiu telah berjaya mengesan posisi kapal layar tersebut di posisi 37.5 Batu Nautika, barat laut Pulau Perak.
Setiba di lokasi penemuan kapal layar terbabit, KD Lekiu telah melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan awal terhadap kesemua krew kapal layar Puteri Mahsuri itu sebelum bantuan selanjutnya tiba untuk membawa pulang kapal tersebut ke Langkawi berikutan mengalami kerosakan jentera.
Kesemua krew yang dijumpai berada dalam keadaan selamat.
Kapal layar Puteri Mahsuri yang telah hanyut kira-kira dua hari telah berjaya dijumpai selepas empat jam Operasi CARILAMAT diaktifkan.
Ia membuktikan kerjasama bersepadu dan tindakan pantas daripada kesemua agensi yang terlibat.
TLDM akan sentiasa siap siaga dalam memberi bantuan demi kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.