Amerika Mahu Korea Utara Pulangkan Kapal Perisiknya, USS Pueblo
55 tahun selepas insiden tegang di Semenanjung Korea itu, anggota Kongres Amerika Syarikat Steube Gregory telah membentangkan resolusi meminta Korea Utara supaya memulangkan kembali kapal perisik milik Tentera Laut Amerika Syarikat,USS Pueblo yang ditawannya itu pada 23 Januari 1968.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – 55 tahun yang lalu pada 23 Januari 1968, tentera Korea Utara telah menawan sebuah kapal perisik milik Tentera Laut Amerika Syarikat, “USS Pueblo” di perairan antarabangsa bersama-sama 83 orang anak kapalnya.
Kapal perisik itu yang masih berada dibawah tawanan Korea Utara sehingga kini, diiktiraf sebagai kapal kedua tertua yang masih berkhidmat dengan tentera laut Amerika Syarikat dan satu-satunya kapal tentera lautnya yang berjaya ditawan oleh pihak musuh.
Dalam insiden yang hampir-hampir mencetuskan Perang Korea Kedua, bukan sahaja USS Pueblo ditawan tetapi anak-anak kapalnya juga telah ditahan selama 11 bulan oleh rejim Korea Utara ketika itu yang dipimpin oleh Kim Il-Sung dan berhadapan dengan seksaan sebelum dibebaskan.
Menurut laporan pihak Amerika, kapal perisikannya itu berada kira-kira 16 batu daripada kawasan pesisir pantai Korea Utara ketika ia ditawan oleh anggota komando Korea Utara yang menaiki beberapa buah bot.
Pesawat-pesawat MiG-21 Korea Utara juga terlibat dalam operasi menawan USS Pueblo itu.
USS Pueblo yang menyamar sebagai kapal penyelidik alam sekitar dikatakan sedang melaksanakan misi mengumpul maklumat perisikan di Laut Timur (East Sea) untuk pihak Perisikan Tentera Laut Amerika Syarikat dan Agensi Keselamatan Kebangsaan.
Sejurus selepas ditawan, Pyongyang mendakwa USS Pueblo telah mencabuli kedaulatannya.
Walaupun dikepung oleh tentera Korea Utara, anak-anak kapal USS Pueblo enggan menyerah diri sehingga menyebabkan beberapa siri berbalas-tembakan sehingga menyebabkan beberapa anak kapal milik Tentera Laut Amerika Syarikat termasuk komandernya itu tercedera.
Seorang anak kapal USS Pueblo meninggal dunia, tetapi tidak diketahui sebab.
Menyedari bahawa kapal perisik itu akan ditawan, anak-anak kapal perisik mengambil kesempatan daripada sedikit masa yang ada untuk membakar sebahagian dokumen-dokumen yang penting bagi mengelak ia jatuh ke tangan tentera Korea Utara.
Walaupun cuba dibakar, Pyongyang dikatakan berjaya merampas ribuan dokumen perisikan yang tidak sempat dibakar bersama-sama 10 buah mesin enkripsi (encryption).
Selepas ditawan oleh tentera Korea Utara, USS Pueblo telah dibawa ke Wonson, dimana 83 anak-anak kapalnya telah diikat tangan mereka dan mata ditutup serta dipindah ke Pyongyang untuk didakwa kerana mengintip di dalam kawasan 12 batu perairan milik Korea Utara.
Sepanjang tempoh penahanan mereka oleh Korea Utara, anak-anak kapal USS Pueblo yang ditawan itu mendakwa mereka telah dipukul dan diseksa.
Pada 23 Disember 1968, 11 bulan selepas USS Pueblo ditawan, perunding-perunding Korea Utara dan Amerika Syarikat mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu itu, menyaksikan kesemua anak kapal perisik itu dibebaskan.
Bagaimanapun ia hanya selepas Amerika Syarikat mengakui kesalahannya mengintip Korea Utara dan memberi tidak akan mengulangi tindakannya itu.
Dan 55 tahun selepas insiden tegang di Semenanjung Korea itu, anggota Kongres Amerika Syarikat Steube Gregory telah membentang resolusi meminta Korea Utara supaya memulangkan kembali kapal perisik USS Pueblo yang ditawannya itu pada 23 Januari 1968.
Resolusi oleh anggota Kongres itu menyatakan bahawa tindakan Korea Utara menawan kapal perisik itu dan menahan anak-anak kapalnya telah melanggar undang-undang antarabangsa.
Ia juga mahukan Kongres menyatakan bahawa USS Pueblo adalah harta milik kerajaan Amerika Syarikat dan perlu dipulangkan.
USS Pueblo masih berada di tepi sungai di Pyongyang pada ketika ini, dijadikan muzium. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.