Petronas Umum Penemuan Minyak, Gas Di Pesisir Pantai Sarawak
Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata penemuan di Sirung-1 membuktikan lagi wujudnya minyak, terutama dalam kawasan belum diteroka sepenuhnya di wilayah Balingian.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat minyak dan gas negara, Petroleum Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan satu penemuan minyak dan gas baru di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian iaitu 237 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.
Telaga cari gali Sirung-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman 2,538 meter pada Februari 2021.
Penemuan ruang minyak dan gas yang penting ini — melebihi 100 meter dalam takungan batu pasir Oligosen hingga Pertengahan Miosen — mengesahkan lagi potensi wilayah Balingian, dengan baki prospek yang masih belum diterokai.
Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata penemuan di Sirung-1 membuktikan lagi wujudnya minyak, terutama dalam kawasan belum diteroka sepenuhnya di wilayah Balingian.
“Ini direalisasikan selepas kejayaan yang sama di telaga tambahan di Medan D18.
“Kami berkedudukan baik untuk meneruskan usaha yang sama di dua blok lain di wilayah yang sama, iaitu Blok SK411 dan SK306. Oleh itu, mengusahakan blok ini dan kawasan sekitarnya yang lain tetap menjadi bahagian penting dalam pelan pertumbuhan jangka panjang Petronas dan rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
PTTEP Sarawak Oil Ltd sebagai pengendali memegang kepentingan sebanyak 59.5 peratus, MOECO Oil (Sarawak) Sdn Bhd memegang 25.5 peratus dan Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat Petronas, memegang baki 15 peratus kepentingan dalam penyertaan di Blok SK405B.
PSC tersebut ditandatangani pada November 2017 hasil daripada Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2015.
“Kami amat gembira atas kejayaan berterusan dengan rakan kongsi kami dalam penemuan berturut-turut tahun ini di Malaysia dan tetap optimis dengan aktiviti penerokaan kami untuk 2021,” katanya.
Bagi MBR 2021, Petronas menawarkan 13 peluang baharu di lembangan prolifik Malaysia dengan disertakan terma fiskal dan bukan fiskal yang ditambah baik.
Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan Petronas untuk berkembang bersama-sama rakan kongsinya di Malaysia.
Comments are closed.