Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Russia “Cabar” Anggota, Pangkalan Tentera Amerika Di Syria

Pihak tentera Amerika menyatakan pesawat-pesawat pejuang Russia yang terbang betul-betul di ruang udara atas kemudahan tenteranya di Syria itu dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara dan peluru berpandu udara-ke-darat serta bom-bom pintar.

6,225

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tentera negara itu di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan Mac ini.

Pegawai tinggi Central Command (CENTCOM) itu, Lt Jen Alexus Grynkewich dilaporkan berkata bahawa, penerbangan-penerbangan seumpama oleh pesawat pejuang Russia itu merupakan “peningkatan mendadak” berbanding bulan-bulan sebelum ini.

Pada bulan ini sahaja, tentera Amerika Syarikat merekodkan 25 pelanggaran ruang udara oleh pesawat pejuang Russia berbanding kosong pada bulan lepas dan 14 pelanggaran pada bulan Januari.

Russia
Pesawat Russia di pangkalan udaranya di Syria.

 

“Tindakan Russia itu telah melanggar perjanjian pada 2019 di antara Moscow dan Washington berkenaan penggunaan ruang udara di kawasan di mana kedua-dua negara memiliki kemudahan tentera di Syria.”

“Russia, nampaknya telah membatalkan (abandoned) perjanjian itu di dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya sambil menambah bahawa pelanggaran ruang udara oleh pesawat pejuang Russia pada bulan ini  merupakan peningkatan yang mendadak.

Beliau juga menuduh tindakan pesawat-pesawat Russia itu bukan sahaja provokatif tetapi juga amat tidak professional dan mendedahkan kepada insiden pelanggaran di antara pesawat kedua-dua negara.

Pihak tentera Amerika menyatakan pesawat-pesawat pejuang Russia yang terbang di atas kemudahan tenteranya di Syria itu dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara dan peluru berpandu udara-ke-darat serta bom-bom pintar.

Beliau menjangkakan penerbangan pesawat-pesawat pejuang Russia di atas pangkalan dan kemudahan tentera Amerika itu akan terus meningkat pada bulan-bulan mendatang ini.

Russia
Anggota tentera Amerika di pangkalannya di Al-Tanf, Syria.

 

Kata pegawai kanan tentera Amerika itu lagi, pesawat-pesawat pejuang Russia telah melakukan penerbangan di atas kemudahan tenteranya di Al-Tanf, Syria sehingga menyebabkan senario yang amat tidak menyenangkan.

“Mereka (pesawat pejuang Russia) terbang betul-betul di atas pangkalan tentera Amerika di Syria dan ia amat tidak menyenangkan anggota tentera kami.”

Pangkalan tentera Amerika di Al-Tanf itu terletak di wilayah Homs di laluan lebuhraya menghubungkan Damsyik-Baghdad dan dipercayai menempatkan ratusan anggotanya termasuk unit-unit pasukan khasnya yang menyokong kumpulan bersenjata termasuk Kurdish dan Arab yang menentang kumpulan pengganas.

Kerajaan Syria pimpinan Bashar al-Assad yang disokong kuat oleh Russia menyifatkan kemudahan tentera Amerika di Al-Tanf itu sebagai suatu  penempatan haram dan mahu Washington mengosongkannya dengan segera.

Tentera kedua-dua negara yang memilliki kemudahan tentera di Syria telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) menggariskan protokol keselamatan penggunaan ruang udara di Syria untuk mengelak sebarang insiden pertembungan membabitkan pesawat tentera kedua-dua negara.

Penganalis mendakwa peningkatan penerbangan pesawat-pesawat tentera Russia di ruang udara pangkalan tentera Amerika di Syria itu berkait-rapat dengan peningkatan ketegangan di antara kedua-dua negara akibat daripada konflik di Ukraine.

Russia
Anggota tentera Amerika di Syria

 

Amerika Syarikat merupakan pendokong kuat kepada kerajaan Ukraine dalam usahanya menentang pencerobohan Russia dan telah menyumbang pelbagai jenis senjata bernilai puluhan billion dollar Amerika.

Ketegangan di antara kedua-dua negara kuasa nuklear semakin meningkat sehingga ke tahap ramai penganalisis mengatakan bahawa Moscow dan Washington semakin hari semakin hampir ke konflik nuklear, terutamanya selepas insiden membabitkan dron MQ-9 Reaper Amerika di Laut Hitam baru-baru ini.

Amerika menuduh pesawat pejuang Su-27 Russia telah dengan sengaja melanggar kipas dron itu yang sedang melakukan misi ISR (Intelligence,Surveillance and Reconnaisance) di Laut Hitam, sehingga menyebabkan ia terhempas di laut itu.

Pihak Russia dikatakan sedang berusaha untuk mencari dan menaikkan dron MQ-9 Reaper yang terhempas itu. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

Comments are closed.