Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sudah Tiba Masa Laut China Selatan Punyai Nama Baru?

Dengan sikap agresif yang ditunjukkan oleh China dalam menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai “hak-hak maritim mereka” di Laut China Selatan, laungan dikalangan rakyat negara littoral supaya nama perairan itu ditukar kepada suatu nama yang baru juga semakin kuat kedengaran akhir-akhir ini. Pada pandangan anda, apakah nama baru yang bersesuaian untuk menggantikan Laut China Selatan?

0 3,731

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Apa ada pada nama”? Nampaknya nama Laut China Selatan telah menimbulkan polemik, dengan ramai dikalangan penduduk Asia Tenggara menyokong supaya nama perairan yang strategik dan penting kepada perdagangan dunia itu ditukar kepada suatu nama yang baru.

Mengapa nama Laut China Selatan itu perlu ditukar? Mereka berpendapat nama Laut China Selatan itu memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai bahawa keseluruhan perairan strategik itu dimiliki oleh China.

Dengan sikap agresif yang ditunjukkan oleh China dalam menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai “hak-hak maritim mereka” di Laut China Selatan, maka laungan supaya nama perairan itu ditukar kepada suatu nama yang baru juga semakin kuat kedengaran akhir-akhir ini.

US Destroyer
Dua buah kapal destroyer Amerika Syarikat di Laut China Selatan.

 

Ada yang mencadangkan nama “Laut Asia Tenggara” sebagai nama baru Laut China Selatan.

Beberapa negara di Asia Tenggara telah pun mengambil tindakan unilateral dengan menukar nama perairan ZEE (Zon Ekonomi Eksklusif) milik mereka yang merupakan sebahagian daripada Laut China Selatan kepada nama lain untuk menggambarkan pemilikan mereka.

Sama ada tindakan negara-negara itu menukar nama Laut China Selatan secara unilateral mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan badan-badan antarabangsa adalah perkara kedua.

Apa yang penting adalah, mereka tidak mahu perairan ZEE milik mereka dikenali sebagai Laut China Selatan, suatu usaha tidak langsung untuk mengatakan bahawa ia tidak dimiliki oleh Beijing.

Vietnam memanggil Laut China Selatan “Laut Timur” manakala China pula menggelarnya “Laut Selatan”.

Natuna

Dikatakan pedagang-pedagang barat telah meletakkan nama China di tengah-tengah nama “Laut Selatan” dan seterusnya menamakan kawasan perairan itu Laut China Selatan.

Indonesia dan Filipina telah bertindak menukar nama perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik mereka yang terletak di Laut China Selatan kepada nama-nama lain bagi menunjukkan pemilikan mereka terhadap kawasan perairan itu.

Pada 2017, Indonesia telah menamakan kawasan perairan ZEE miliknya di barat daya Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara, sebagai menandakan pemilikan negara itu terhadap kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Sebagaimana dilaporkan oleh media, Beijing telah membantah tindakan Jakarta itu dengan Kementerian Luarnya bertindak mengirimkan nota bantahan kepada Kedutaan Indonesia di ibu negara China itu.

Beijing mahu Jakarta membatalkan keputusannya itu, tetapi permintaan China itu dipandang sepi oleh Indonesia.

natuna
Natuna

 

Menurut China, tindakan Indonesia menukar ‘nama (Laut China Selatan) yang sudah diterima di peringkat antarabangsa’ mengakibatkan “komplikasi dan memburukkan lagi pertikaian, sekali gus menjejaskan keamanan dan kestabilan”.

Namun, bantahan China itu tidak memberikan apa-apa kesan kerana Jakarta terus-menerus menggunakan nama Laut Natuna Utara dalam segala urusan rasminya.

Filipina pula telah memulakan usaha menukar nama kawasan perairan barat negara itu sebagai Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) daripada Laut China Selatan seawal tahun 2011.

Hanya pada 2012, kerajaan Filipina secara rasmi menyatakan bahawa ia akan menggunakan Laut Filipina Barat untuk mengenalpasti nama perairan di barat negara itu yang sebelum ini dikenali sebagai Laut China Selatan.

Segala dokumen rasmi, komunikasi dan peta mula menggunakan nama Laut Fillipina Barat.

Laut Filipina
Laut Filipina Barat

 

Setelah beberapa tahun berlalu, media-media antarabangsa juga mula menggunakan nama-nama yang diberikan oleh Jakarta dan Manila itu dalam laporan-laporan berita mereka, walaupun badan antarabangsa tidak mengiktiraf penukaran nama itu.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Setakat hari ini, kerajaan masih mengekalkan nama Laut China Selatan, walaupun beberapa pihak mencadangkan pelbagai nama baru terhadap perairan EEZ negara di Laut China Selatan.

Mungkin sudah tiba masanya, kerajaan untuk menimbangkan secara serius nama-nama baru bagi menggantikan Laut China Selatan yang menunjukkan pemilikan dan kedaulatan kita terhadap perairan-perairan yang kini dicabar oleh negara-negara luar.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

 

Jika Filipina dan Indonesia boleh melakukannya, apa yang menghalang kita?

Malah China telah bertindak memberikan nama-nama Mandarin terhadap beberapa ciri maritim yang terletak di dalam perairan ZEE kita, antaranya adalah Gugusan Beting Raja Jarum (Beikang Ansha), Gugusan Beting Patinggi Ali (Nankang Ansha) dan Beting Serupai (Zengmu Ansha).

Tindakan Beijing menamakan ciri-ciri maritim itu dengan nama Mandarin menunjukkan ia mahu dikenali sebagai pemiliknya. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...