Pesawat MPA/ASW China Cuba Kesan Kapal Selam “Musuh” Berhampiran Perairan Taiwan
Dipetik oleh akhbar The South China Morning Post (SCMP), sumber keselamatan itu yang enggan dikenalpasti itu berkata, pesawat-pesawat MPA/ASW China itu melakukan penerbangan harian di kawasan perairan terbabit, mungkin didorong oleh “penemuan” tertentu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sumber-sumber keselamatan Barat mengatakan China telah mengerah pesawat-pesawat peronda maritim (MPA)/anti submarine warfare (ASW) ke bahagian utara Laut China Selatan berhampiran PulauTaiwan kerana mengesyaki kehadiran kapal selam Amerika Syarikat.
Dipetik oleh akhbar The South China Morning Post (SCMP), sumber keselamatan itu yang enggan dikenalpasti itu berkata, pesawat-pesawat MPA/ASW China itu melakukan penerbangan harian di kawasan perairan terbabit, mungkin didorong oleh “penemuan” tertentu.
“Mungkin China mahu menunjukkan pesawat-pesawat MPA/ASW mereka mempunyai kemampuan untuk memburu kapal-kapal selam Amerika Syarikat. Mereka (China) tidak memburu kapal-kapal selam Taiwan,” katanya yang merujuk kepada Taiwan yang hanya memiliki empat buah kapal selam dalam tentera lautnya.
Dua daripada kapal selam Taiwan itu digunakan sejak Perang Dunia Kedua.
Pihak tentera Amerika Syarikat tidak pernah mengesahkan atau menafikan kehadiran kapal-kapal selam mereka di Laut China Selatan atau di perairan berhampiran Taiwan.
Bagaimanapun pada Februari lepas, pihak tentera Amerika Syarikat telah mengedarkan gambar kehadiran sebuah kapal selam berkuasa nuklearnya, USS Ohio di Pulau Okinawa bagi latihan bersama-sama tentera unit-unit tentera Marines Expeditionary Force (MEF) negara itu.

Mengikut maklumat, latihan itu melibatkan penyusupan anggota-anggota MEF ke kawasan konflik di Laut China menggunakan kapal selam.
Jika benar kapal selam USS Ohio berada berhampiran di perairan berhampiran Taiwan, maka memang sepatutnya China agak “kalut” kerana kapal selam Amerika Syarikat itu memang aset yang amat berkemampuan.
Bukan sahaja ia mampu menyelinap dengan senyap di dasar lautan, tetapi kemampuan serangannya juga tidak boleh diambil ringan terutamanya dengan 154 peluru berpandu “Tomahawk” yang dibawanya.
Selain Tomahawk, ia turut berkemampuan membawa torpedo dan pasukan-pasukan komando untuk tugas-tugas khas.
Comments are closed.