Korea Selatan, Amerika, Korea Utara Saling Berbalas Lancar Peluru Berpandu
Army Tactical Missile Systems (ATACMS) merupakan peluru berpandu darat ke darat yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 300km.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Amerika dan Korea Selatan melancarkan lapan peluru berpandu darat ke darat “Army Tactical Missile Systems” (ATACMS) hari ini sebagai tindak balas kepada ujian pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara yang dilakukan pada hari sebelumnya.
Menurut Ketua Staf Bersama Korea Selatan, kedua-dua negara itu melancarkan peluru berpandu ATACMS ke beberapa sasaran di Laut Timur atau dikenali sebagai Laut Jepun, pada awal pagi tadi.
Kelapan-lapan peluru berpandu itu dilepaskan oleh tentera Amerika dan Korea Selatan dalam tempoh kira-kira 10 minit. Satu peluru berpandu dilancarkan oleh tentera Amerika manakala tujuh dilancarkan oleh tentera Korea Selatan.

Army Tactical Missile Systems (ATACMS) merupakan peluru berpandu darat ke darat yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 300km.
Ia boleh dilancarkan menggunakan sistem pelancar M270 Multiple Launch Rocket System (MLRS), and M142 High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS).
Selain Amerika Syarikat dan Korea Selatan, ATACMS itu turut digunakan oleh tentera Turki dan Greek.
Pelancaran itu dibuat sehari selepas Korea Utara melancarkan lapan peluru berpandu balistik jarak dekat sejurus selepas Amerika dan Korea Selatan menamatkan latihan ketenteraan bersama mereka.
“Tentera kami mengutuk sekeras-kerasnya siri provokasi peluru berpandu balistik Korea Utara.

“Kami juga mendesak republik itu menghentikan serta-merta tindakan yang meningkatkan ketegangan tentera di Semenanjung itu,” jelasnya.
Pelancaran terbaharu itu menunjukkan kekuatan bersama sekutu negara itu dibawah kepimpinan Presiden Korea Selatan baharu, Yoon Suk-yeol yang berikrar untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Pyongyang.
Comments are closed.