Armenia Ancam Guna “Iskander” Di Nagorno-Karabakh

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian pertahanan Armenia tidak menolak kemungkinan akan menggunakan peluru berpandu darat-ke-darat “Iskander” (SS-26 Stone) di dalam konfliknya dengan Azerbaijan bagi merebut Nagorno-Karabakh.
“Jika kita memikirkan terdapat keperluan untuk mengunakannya, maka kita akan menggunakannya,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Armenia, Artsun Hovhannisyan dalam satu majlis taklimat kepada media di Yerevan, ibu kota Armenia semalam.
Selain peluru berpandu taktikal “Iskander”, Kementerian Pertahanan Armenia juga mengancam untuk mengerahkan pesawat pejuang SU-30SM untuk terlibat sama di dalam konflik di Nagorno-Karabakh.
Sehingga kini, hampir 100 orang dilapor terbunuh dalam konflik di Nagorno Karabakh itu.

Duta Armenia ke Russia, Vardan Toghanyan juga berkata kepada media Russia bahawa jika Turki mengerahkan pesawat pejuang F-16 bagi membantu Azerbaijan, maka Armenia juga tidak akan teragak-agak menggunakan peluru berpandu “Iskander” itu.
“Kita akan menggunakan seluruh kekuatan ketenteraan yang kita ada,” katanya.
Dalam reaksi balasnya, Menteri Pertahanan Azerbaijan Jeyhun Bayramov berkata, pihaknya menjangkakan segala kemungkinan daripada Armenia.
“Azerbaijan mempunyai kemampuan untuk bertindak balas terhadap apa sahaja daripada Armenia,” katanya.
Armenia menunjukkan kepada dunia bahawa ia memilliki peluru berpandu “Iskander” pada satu perarakan tentera di Yerevan pada September 2016.
Menurut penganalisis tentera, Armenia memilki 25 unit peluru berpandu “Iskander”, yang mampu dilancarkan terhadap sasaran sejauh 500km.
Comments are closed.