Adakah Tentera Darat Pakistan Telah Mula Operasi Helikopter Penyerang ZE-10ME Buatan China ??
Pengoperasian Z-10ME: Simbol kerjasama pertahanan China-Pakistan, cabaran baharu buat India di Garisan Kawalan (LoC) dan langkah strategik memodenkan armada helikopter serang Islamabad.

Tentera Darat Pakistan dilaporkan telah mula mengoperasi helikopter penyerang ZE-10ME buatan China, yang bakal memberikan peningkatan kuasa tembak kepada Tentera Darat Pakistan hanya beberapa minggu selepas ia terlibat dalam konflik dengan musuh tradisinya, India.
Sekiranya laporan mengenai pengoperasian helikopter penyerang buatan China itu terbukti benar, ia adalah suatu perkembangan yang besar dalam pemodenan dalam armada helikopter penyerangnya.
Laporan ini muncul ketika landskap keselamatan serantau sedang berubah, menjadikan pengoperasian ZE-10ME oleh Pakistan itu amat penting untuk diperhatikan oleh penganalisis ketenteraan.
Bagaimanapun, kedua-dua kerajaan Pakistan dan China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai laporan-laporan berita mengenai dakwaan Islamabad telah mula mengoperasikan helikopter penyerang ZE-10ME buatan China itu.
Pakistan dilaporkan mula berunding dengan China untuk memperolehi helikopter penyerang ZE-10ME pada 2022 selepas ia membatalkan membatalkan perolehan 30 buah helikopter penyerang T129 ATAK bernilai US$1.5 bilion (RM6 bilion) yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Pakistan membatalkan perolehan helikopter penyerang buatan Turkiye itu yang dipesannya pada 2018 selepas penghantaran helikopter itu mengalami kelewatan berikutan keengganan Amerika Syarikat memberikan lesen eksport terhadap enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter penyerang itu.
Helikopter penyerang T129 ATAK menggunakan enjin yang dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Honeywell dan Rolls-Royce daripada United Kingdom.

Setiap helikopter penyerang T129 ATAK itu menggunakan dua enjin yang diperbuat oleh kedua-dua syarikat itu yang sememangnya terkenal dengan pembuatan enjin untuk pesawat-pesawat tentera dan komersial.
Tanpa lesen eksport daripada Amerika Syarikat, adalah mustahil helikopter itu dapat diserahkan kepada Pakistan.
Helikopter penyerang Z-10ME buatan China kini semakin mencuri tumpuan dalam pasaran eksport pertahanan dunia, terutamanya negara-negara yang mahu memodenkan armada udara mereka tanpa bergantung kepada pembekal Barat.
Z-10ME merupakan varian eksport bagi helikopter Z-10 asas yang dibangunkan oleh Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) di bawah naungan syarikat gergasi aeroangkasa China, Aviation Industry Corporation of China (AVIC).
Helikopter ini direka khusus untuk misi sokongan rapat, operasi anti-armor, serta pertempuran udara-ke-udara jarak dekat, menjadikannya setanding dengan model ikonik seperti AH-64 Apache milik Amerika Syarikat.
Z-10ME dilengkapi dengan dua enjin turboshaft WZ-9C, setiap satu menjana lebih kurang 1,200 kilowatt, memberikan nisbah kuasa-berat yang lebih baik untuk operasi di altitud tinggi.
Reka bentuk badan yang aerodinamik dengan kokpit tandem dua tempat duduk ini membolehkan ia beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca dan persekitaran geografi mencabar, termasuk kawasan pergunungan.

Helikopter ZE-10ME ini dilengkapi sistem penyejukan ekzos khas dan muncung ekzos yang direka ke atas untuk mengurangkan kesan infra-merah, sekali gus menyukarkan pengesanan oleh peluru berpandu berpandu haba.
Dari segi prestasi,helikopter Z-10ME mampu terbang pada kelajuan maksimum sekitar 300 kilometer sejam, dengan jarak operasi efektif mencecah 800 hingga 1,120 kilometer bergantung kepada muatan senjata dan tangki bahan api tambahan.
Berat kosongnya dianggarkan sekitar 5,100 kilogram, manakala berat maksimum ketika berlepas boleh mencecah 7,200 kilogram.
Helikopter ini juga mampu terbang pada ketinggian sehingga 6,000 meter, satu kelebihan penting bagi operasi di kawasan bergunung-ganang seperti perbatasan China–India atau Asia Tengah.
Z-10ME direka untuk membawa pelbagai jenis persenjataan berat.
Ia dilengkapi meriam 23 milimeter dipasang di bahagian depannya untuk sokongan rapat.
Selain itu, setiap sayap pendeknya mempunyai empat point gantungan, membolehkan Z-10ME membawa sehingga 16 peluru berpandu anti-kereta kebal seperti HJ-10 atau AKD-10, roket pod 7-laras atau 32-laras, serta peluru berpandu udara-ke-udara TY-90 untuk pertahanan diri.
Menariknya, beberapa varian juga boleh dilengkapi bom berpandu atau torpedo ringan untuk operasi maritim.

Helikopter ZE-10ME ini turut dipasang dengan radar kawalan tembakan millimeter-wave di atas rotor utama, membolehkan pengesanan dan pengunci sasaran dengan lebih tepat.
Bahagian hidungnya pula menempatkan pod Electro-Optical (EO) dan Forward-Looking Infra-Red (FLIR) untuk operasi siang dan malam.
Dari aspek perlindungan, Z-10ME dilengkapi sistem amaran peluru berpandu (MAWS), penerima amaran radar dan laser (RWR dan LWR), serta pelontar flare dan chaff bagi memintas ancaman berpandu.
Ada juga laporan bahawa varian terkini Z-10ME dilengkapi sistem gangguan infra-merah (DIRCM) dan radar AESA bersaiz kecil, meningkatkan keupayaan menangkis ancaman peluru berpandu berpandu haba.
Dua krew duduk dalam susunan tandem; juruterbang di belakang, manakala pegawai kawalan senjata di depan.
Kokpitnya menggunakan sistem Fly-by-Wire, Head-Up Display (HUD), serta paparan pelbagai fungsi (MFD) yang memudahkan kawalan penerbangan dan operasi senjata secara serentak.
Helmet juruterbang pula diintegrasikan dengan sistem sasaran Helmet-Mounted Sight, membolehkannya mengunci sasaran hanya dengan memusingkan kepala.
Dari segi navigasi, Z-10ME menggunakan GPS Beidou, sistem navigasi inersia (INS), altimeter radio, radar Doppler, serta sistem Identification Friend or Foe (IFF).
Kesan Geo-strategik Pengoperasian Z-10ME oleh Pakistan
Sekiranya Pakistan benar-benar telah menerima dan mengoperasikan helikopter penyerang Z-10ME, langkah ini bakal membawa beberapa implikasi penting dari sudut geo-strategik, keseimbangan kuasa serantau dan dinamika hubungan Islamabad-Beijing-New Delhi.
-
Pemerkasaan Aset Rotary-Wing Pakistan
Pertama sekali, perolehan Z-10ME akan mengisi jurang keupayaan helikopter serang Pakistan yang sekian lama tertangguh.
Sebelum ini, usaha untuk mendapatkan T129 ATAK buatan Turkiye terhalang akibat sekatan eksport enjinnya oleh Amerika Syarikat.
Dengan Z-10ME, Tentera Darat Pakistan akan memiliki platform serangan jarak dekat yang lebih moden, meningkatkan kemampuan mereka untuk menghadapi kereta kebal, kubu pertahanan, dan sasaran strategik di kawasan pergunungan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).
-
Pengukuhan Pakatan Ketenteraan China-Pakistan
Pengoperasian Z-10ME juga akan menonjolkan hubungan pertahanan yang semakin mendalam antara Beijing dan Islamabad.
China bukan bekerjasama membangunkan pesawat pejuang JF-17 dan membekalkan pesawat pejuang J-10C, sistem pertahanan udara, kapal perang dan radar, malah kini memanjangkan kerjasama ke aset rotary-wing.
Ini memberi isyarat jelas bahawa Beijing semakin memainkan peranan sebagai pembekal senjata utama bagi Pakistan, sekaligus mengurangkan kebergantungan Islamabad kepada Barat.
-
Cabaran Baru Kepada India di LoC dan Siachen