Pakistan Wujud Skuadron Kedua Pesawat Pejuang JF-17 “Thunder” Block 3
Tentera Udara Pakistan berusaha mempertingkatkan pengoperasian pesawat-pesawat pejuang JF-17 "Thunder" dan J-10C “Mighty Dragon” berikutan keputusannya untuk menamatkan khidmat pesawat pejuangnya yang sudah berusia seperti Mirage III dan juga Mirage V.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Pakistan dilapor akan mewujudkan skuadron kedua varian terkini pesawat pejuang JF-17 ‘Thunder” Block 3 yang akan beroperasi daripada sebuah pangkalan udara di Karachi.
Media-media pertahanan negara itu menyatakan bahawa skuadron pesawat pejuang JF-17 Block 3 itu akan mewujudkan semula Skuadron No.8 “Haider” yang sebelum ini telah dibersarakan.
Sebelum ini Skuadron No.8 “Haider” Tentera Udara Pakistan ditugaskan untuk misi-misi serangan maritim dan kemudiannya kepada misi serangan taktikal menggunakan pesawat-pesawat pejuang Mirage sejak 1983.
Usaha-usaha mewujudkan dan mengoperasikan skuadron kedua JF-17 Block 3 berpangkalan di Karachi itu akan selesai sepenuhnya di dalam tempoh beberapa bulan ini.
Tentera Udara Pakistan berusaha mempertingkatkan pengoperasian pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” dan J-10C “Mighty Dragon” berikutan keputusannya untuk menamatkan khidmat pesawat pejuangnya yang sudah berusia seperti Mirage III dan juga Mirage V.
Minggu lepas, Tentera Udara Pakistan mengerahkan pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” dan J-10C “Vigorous Dragon” miliknya untuk melancarkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata di dalam wilayah Iran.
Serangan pesawat-pesawat pejuang JF-17 dan J-10C serta dron bersenjata milik Pakistan itu disasarkan terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan bersenjata di Wilayah Sistan dan Baluchistan di Iran yang terletak di sempadan dengan Pakistan.
Pakistan dan Iran berkongsi sempadan sepanjang 900km.
Serangan pesawat-pesawat pejuang dan dron bersenjata milik Pakistan terhadap wilayah Iran itu adalah sebagai respons terhadap tindakan Teheran melancarkan serangan peluru berpandu ballistik terhadap kedudukan kumpulan bersenjata yang terletak dalam Pakistan.
“Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan itu melakukan serangan pre-emptive terhadap kedudukan kumpulan bersenjata di Iran menggunakan senjata-senjata standoff jarak jauh yang membolehkan mereka mengebom kedudukan kumpulan bersenjata walau ketika berada dalam ruang udara mereka sendiri.”
Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG).
Manakala pesawat pejuang J-10 “Mighty Dragon” itu adalah dibangunkan oleh CAIG.
Menjelang tahun ini atau tahun depan, Tentera Udara Pakistan dilaporkan akan memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2 yang dimilikinya pada ketika ini.
Pesawat pejuang JF-17 Block 3 dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block 3 itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.
Penganalisis pertahanan Pakistan menyifatkan JF-17 Block 3 sebagai “game changer” dalam persaingan udara negara itu dengan musuh tradisinya, India.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India. — DSA
To contact email: [email protected]
Comments are closed.