Pakistan Beroleh “Kemenangan”, Trump Akui Lima Jet Pejuang Ditembak Jatuh Dalam Konflik Islamabad-New Delhi
Presiden Amerika Syarikat itu yang menyatakan perkara itu dalam satu majlis makan malam dengan pemimpin parti Republikan di Rumah Putih bagaimanapun tidak menjelaskan pesawat-pesawat pejuang yang ditembak jatuh itu milik negara mana.
Dalam apa yang disifatkan oleh pemerhati sebagai mengesahkan lagi kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang India, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan bahawa “sehingga lima buah jet pejuang telah ditembak jatuh” dalam konflik di antara Islamabad dan New Delhi pada awal Mei lepas.
Presiden Amerika Syarikat itu yang menyatakan perkara itu dalam satu majlis makan malam dengan pemimpin parti Republikan di Rumah Putih bagaimanapun tidak menjelaskan pesawat-pesawat pejuang yang ditembak jatuh itu milik negara mana.
Bagaimanapun bagi para pemerhati, kenyataan Presiden Trump itu berkemungkinan besar merujuk kepada pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara India yang ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan sebagaimana dinyatakan oleh media-media Pakistan dan antarabangsa.
“Malah, pesawat-pesawat telah ditembak jatuh dari udara. Lima, lima, empat atau lima, tetapi saya rasa lima jet telah ditembak jatuh sebenarnya,” kata Trump ketika mengulas ketegangan antara India dan Pakistan, tanpa memberikan penjelasan lanjut atau butiran terperinci.
Trump berulang kali mendakwa dirinya bertanggungjawab terhadap gencatan senjata antara India dan Pakistan yang diumumkannya di media sosial pada 10 Mei, selepas Washington mengadakan rundingan dengan kedua-dua pihak.
Namun, India menafikan dakwaan Trump itu dan menegaskan bahawa gencatan senjata tersebut bukan hasil campur tangan beliau mahupun ancamannya untuk menamatkan rundingan perdagangan.
Sebelum ini,Pakistan mendakwa pesawat-pesawat pejuang tentera udaranya terutamanya J-10C yang dilengkapi dengan peluru berpandu PL-15E telah berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang India termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis, sebuah Su-30MKI dan sebuah MiG-29 pada hari-hari awal konflik di antara kedua-dua negara berjiran itu pada awal Mei.


Kerajaan Pakistan turut mendakwa tentera udaranya berjaya menembak jatuh sebuah lagi pesawat pejuang India – Mirage 2000.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai dakwaan tentang kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuangnya termasuk tiga buah Rafale, namun kerajaan India di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi enggan mengakui “kekalahan itu” walaupun berhadapan dengan dengan bukti-bukti yang semakin nyata.
Namun bagi pegawai-pegawai kanan tentera India, semakin hari mereka semakin ke hadapan memberikan pengesahan tidak langsung tentang kehilangan pesawat-pesawat pejuangnya dalam konflik dengan Pakistan.
Pada akhir Mei lepas, buat pertama kali, India mengakui ia telah kehilangan pesawat pejuang dalam konflik ketenteraan dengan Pakistan beberapa minggu lalu, namun tidak mendedahkan bilangan pesawat pejuang yang ia telah hilang ketika konflik itu.
“Apa yang penting adalah bukanlah soal pesawat pejuang itu telah jatuh, tetapi mengapa ia (pesawat pejuang) itu jatuh, “ kata beliau dalam satu temuramah dengan Bloomberg TV ketika sedang menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura.
Beliau juga menyatakan bahawa dakwaan Pakistan bahawa ia telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India adalah “tidak tepat sama sekali”, namun pada masa yang sama tidak mendedahkan bilangan sebenar pesawat pejuang miliknya yang ditembak jatuh.
“Mengapa mereka (pesawat pejuang) itu jatuh, apa kesilapan yang telah kita buat, ia adalah lebih penting,” kata Chauhan ketika ditanya berkenaan pesawat pejuang itu.
“Bilangan adalah tidak penting,” kata beliau.

“Apa yang baik adalah kita mampu memahami kesilapan-kesilapan taktikal yang telah kita buat, mengenalpasti dan memperbaikinya dan melaksanakan semula selepas dua hari selepas itu dan menerbangkan kesemua pesawat pejuang kita dan membedil sasaran pada jarak jauh,” kata beliau tentang konflik Pakistan-India yang tercetus pada 7 Mei lepas.
Semasa konflik terbabit, seorang pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti ketika ditanya oleh media negara itu hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dakwaan Pakistan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu turut disokong oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat dan Perancis.
“Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah pesawat pejuang Tentera Udara India,” menurut pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kepada agensi berita antarabangsa Reuters.
Wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Pada 17 Mei lalu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menyatakan bahawa Angkatan Tentera negara itu telah menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India dalam konflik paling serius antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun lepas.

Pesawat pejuang ke-enam Tentera Udara India jenis Mirage 2000 telah disahkan ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan pada malam 6- 7 Mei lalu di Pampore di timur Srinagar, India.
Sebelum itu, Pakistan mendakwa ia berjaya menembak lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India terdiri daripada tiga buah pesawat pejuang Rafale, sebuah Su-30MKI dan sebuah pesawat pejuang MiG-29.
Pesawat pejuang keenam India, Mirage 2000 juga dipercayai ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan menggunakan PL-15.
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu dipercayai ditembak jatuh oleh pesawat-pesawat pejuang J-10C atau JF-17 “Thunder” menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 yang dibangunkan oleh China.
Pesawat pejuang J-10C yang digunakan oleh Tentera Udara Pakistan itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) manakala pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara usahasama antara CAIG dan Pakistan Aaeronautical Complex (PAC).
Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu dipercayai ditembak jatuh oleh sama ada J-10C dan JF-17 “Thunder” menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 yang dibangunkan oleh China.
Laporan sebelum ini menyatakan ada di antara pesawat-pesawat pejuang India itu ditembak jatuh daripada jarak sehingga 182km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 yang dibangunkan oleh China itu.
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dipercayai masih berada di dalam ruang udara negara itu ketika ia bertindak melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India ketika hari-hari pertama konflik di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu.
Pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan pada hari-hari pertama konflik Pakistan-India itu disifatkan oleh pemerhati sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 itu memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.