Pesawat F-16, C-130 US PACAF Tiba Untuk COPE TAUFAN 2023
Eksesais COPE TAUFAN kali ini turut melibatkan aset udara dari TUDM seperti pesawat Su-30MKM, HAWK, F/A-18D, C-130H, A400 M dan EC 725 AP manakala dari US PACAF pula, pesawat-pesawat C-130 dan F-16 akan terlibat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang F-16 daripada United States Pacific Air Forces (US PACAF) telah mendarat di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang untuk memulakan Eksesais COPE TAUFAN 2023.
Menurut kenyataan media sosial Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ketibaan pesawat-pesawat pejuang dan peserta eksesais telah disambut oleh Kol Razali Ahmad Jumali TUDM dan Kol Kathryn Gaetke selaku CO-Exercise Director (CO-EXDIR) serta pegawai dan anggota TUDM.
Delegasi dari US PACAF, TUDM dan 10 Briged (Para) telah tiba di Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Subang secara berperingkat bermula dari 10 hingga 18 September 23 bagi melaksanakan Eksesais COPE TAUFAN 2023 (Eks CT23).
Kira-kira 220 anggota tentera Amerika Syarikat, 424 anggota TUDM dan 472 anggota 10 Briged (Para) terlibat dalam eksesais kali ini.
Eksesais COPE TAUFAN kali ini turut melibatkan aset udara dari TUDM seperti pesawat Su-30MKM, HAWK, F/A-18D, C-130H, A400 M dan EC 725 AP manakala dari US PACAF pula, pesawat-pesawat C-130 dan F-16 akan terlibat.
Manakala kenderaan VAMTAC, motosikal dan meriam LG 1 Mk III daripada 10 Briged (Para) juga akan terlibat dalam eksesais kali ini.
Melalui platform eksesais ini, hubungan kerjasama pertahanan di antara TUDM dan US PACAF sentiasa diperkasa dan diperkukuhkan.
“Untuk edisi eksesais tahun 2023 ini, bukan hanya menumpukan kepada kerjasama ketenteraan dua hala tetapi turut menumpukan kepada kebolehoperasian ketenteraan moden yang bersepadu melibatkan para peserta.”
Beberapa hari lalu, US PACAF menerusi satu kenyataan mengatakan pesawat pengangkut C-130 itu adalah daripada Delaware Air National Guards 166th Airlift Wing, New Castle Air National Guard Base dan pesawat-pesawat pejuang F-16 pula berpangkalan daripada 51st Fighter Wing, Osan Air Base di Korea Selatan.
“Eksesais COPE TAUFAN 2023 akan mementingkan latihan di dalam udara-ke-udara (air-to-air) dan kemampuan penghantaran udara (air delivery capabilities) serta meletakkan kepentingan tinggi dalam operasi bantuan penerbangan (flight support operations) dalam suasana sebenar,” kata PACAF.
Ia berkata latihan bermatlamat untuk memperbaiki kesiagaan Malaysia dan Amerika Syarikat, manakala pada masa yang sama menonjolkan kuasa tentera Amerika secara sstrategik dengan penekanan terhadap interoperabiliti, kerjasama keselamatan dan pembinaan kemampuan.
Ia berkata dengan keterlibatannya dalam latihan-latihan tentera dengan angkatan tentera daripada negara-negara rakan di rantau Indo-Pasifik merupakan demonstrasi komitmen Amerika Syarikat terhadap keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik.
Menurut kenyataan media sosial yang dikeluarkan oleh TUDM beberapa hari lalu, sepanjang tempoh eksesais COPE TAUFAN 2023 ini aset-aset TUDM dan PACAF akan melaksanakan penerbangan secara taktikal di kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan latihan.
Kawasan-kawasan latihan itu melibatkan ruang udara di beberapa negara antaranya Pulau, Pinang dan Perak yang turut melibatkan aset udara pelbagai kategori pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.