“Nasib Malang” Terus Menimpa Kapal Pengangkut Pesawat Tunggal Russia
Nasib malang terus menimpa kapal pengangkut pesawat Admiral Kuznetsov yang mula dibina ketika zaman Kesatuan Soviet, apabila masalah-masalah yang tidak didedahkan kepada umum telah menyebabkan tarikh penyerahan kembali kapal perang itu kepada Tentera Laut Russia ditangguhkan kepada 2024 berbanding tarikh asal pada tahun depan.

Jom follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia, Admiral Kuznetsov mula menjalani kerja-kerja pembaikan dan usaha pemodenan pada tahun 2017 di limbungan kapal di Murmansk dengan pihak berkuasa negara itu menjangkakan kerja-kerja itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.
Namun, nasib malang terus menimpa kapal pengangkut pesawat yang mula dibina ketika zaman Kesatuan Soviet apabila masalah-masalah yang tidak didedahkan kepada umum telah menyebabkan tarikh penyerahan kembali kapal perang itu kepada Tentera Laut Russia ditangguhkan kepada 2024 berbanding tarikh asal pada tahun depan.
Kapal Admiral Kuznetsov yang dikategorikan oleh tentera laut Russia sebagai “kapal kruiser pembawa pesawat” itu mula dibina pada 1982 tetapi hanya ditauliah pada 1995, iaitu 13 tahun selepas pembinaannya bermula.
Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan Admiral Kuznetsov itu dilakukan oleh agensi negara itu, United Shipbuilding Corporation.
Kapal pengangkut pesawat Russia itu sememangnya terkenal di kalangan pemerhati sebagai sebuah kapal yang menghasilkan asap tebal ketika belayar serta sering diiringi oleh kapal tunda (tugboat) sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ia mengalami kerosakan.
Sumber-sumber tentera Russia memberitahu agensi berita Russia, TASS bahawa pihak tentera laut telah menemui beberapa “kerosakan” ketika kerja-kerja baikpulih dan pemodenan dilakukan pada kapal pengangkut pesawat itu.
Penemuan beberapa kerosakan itu telah mengakibatkan tarikh penyerahan Admiral Kuznetsov kepada Tentera Laut Russia ditangguhkan kepada 2024.
Pada mulanya kapal pengangkut pesawat Russia itu sepatutnya diserahkan kepada Tentera Russia pada 2022 sebelum dilanjutkan kepada 2023 dan kini 2024 pula.
Nasib kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah mengalami beberapa insiden malang seperti kebakaran yang berlaku ketika belayar di Turki pada 2009 yang menyebabkan seorang anak kapal terbunuh.
Comments are closed.