Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perolehan Multi Role Support Ship (MRSS) TLDM Ditangguh Lagi

Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob memberitahu bahawa perolehan Multi Role Support Ship (MRSS) itu terpaksa ditangguhkan untuk memberikan laluan kepada perolehan-perolehan aset lain.

0 5,408

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun mengakui bahawa keperluan pemilikan Multi Role Support Ship (MRSS) itu adalah amat penting, tetapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa menangguhkan perolehan kapal jenis itu.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob memberitahu bahawa perolehan MRSS itu terpaksa ditangguhkan untuk memberikan laluan kepada perolehan-perolehan aset lain.

“Dengan kedudukan geografi negara yang terbahagi kepada dua wilayah dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak terdekat sejauh 568.42 kilometer, kita memerlukan platform sebegini bagi bantuan logistik dan mengukuhkan keperluan.”

MRSS
KD Indera Sakti

 

“Bagaimanapun, setakat ini perolehan MRSS terpaksa ditangguhkan dahulu bagi memberikan laluan kepada perolehan Littoral Mission Ship (LMS) dan juga penyelesaian perolehan Littoral Mission Ship (LCS) serta program peningkatan keupayaan kombatan untuk aset sedia ada.”

“Perolehan MRSS akan dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),”kata beliau dalam temuramah dengan akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini,

RMK13 akan hanya bermula pada tahun 2026 sehingga 2030, bermakna TLDM akan hanya boleh memperolehi MRSS kira-kira tiga tahun daripada sekarang dan itu pun jika program perolehan kapal jenis itu tidak ditangguhkan lagi kepada Rancangan Malaysia yang seterusnya (seperti apa yang kerapkali berlaku).

Sementara terpaksa menunggu tiga tahun lagi, TLDM perlu menggunakan kapal MRSS sedia ada yang usianya sudah pun mencecah 40 tahun.

Dalam temuramah itu, Panglima TLDM berkata, dengan kedudukan geografi negara yang terbahagi kepada dua wilayah dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak terdekat sejauh 568.42 kilometer, TLDM memerlukan MRSS untuk bantuan logistik dan mengukuhkan keperluan.

MRSS
Kapal MRSS HDL-13000 yang dicadangkan oleh Hyundai Heavy Industries kepada TLDM.

 

MRSS menurutnya, dilihat sebagai keperluan yang sangat penting dan perolehannya wajar disegerakan.

Bekas Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Indera Yazid Arshad pernah menyatakan beberapa bulan lepas bahawa perolehan dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak boleh tergendala lagi, malah perolehan kapal sedemikian perlu disegerakan. 

Menurut beliau,  terdapat keperluan yang mendesak untuk TLDM memperolehi kapal MRSS memandangkan usia kapal MRSS sedia ada sudah berusia hampir 40 tahun. 

Sejak beberapa tahun yang lepas, beberapa syarikat tempatan dan luar negara telah tampil kehadapan untuk menawarkan kapal-kapal MRSS rekabentuk mereka kepada TLDM.

Antara syarikat-syarikat yang menawarkan kapal MRSS mereka adalah Hyundai Heavy Industries (HHI), Mitsui daripada Jepun dan Damen Schelde serta CSOC daripada China.

 Bagi memantapkan lagi pengoperasiannya, TLDM memerlukan sekurang-kurangnya empat MRSS dengan dua buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala dua buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah). 

CSOC
Model kapal MRSS yang dicadangkan oleh syarikat CSOC.

 

Pada September 2021, bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam jawapan bertulis di Parlimen menyatakan bahawa kerajaan bercadang akan melakukan perolehan dua buah kapal MRSS untuk TLDM bermula pada tahun 2024.

Dengan belanjawan pertahanan tahunan yang terhad iaitu tidak sampai 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka Angkatan Tentera Malaysia dan cabang-cabangnya terpaksa memilih perolehan aset yang perlu diutamakan.

Tidak semua perolehan aset ATM dapat dilakukan dengan segera.

Ada aset-aset yang hanya dapat diperolehi selepas beberapa Rancangan Malaysia (tempoh setiap Rancangan Malaysia adalah lima tahun).

tldm
Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Mohd Reza Mohd Sany

 

Tahun lepas, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  Laksamana Mohd Reza Mohd Sany sebelum beliau bersara berkata bahawa peruntukan untuk sektor pertahanan Malaysia perlu dikaji semula supaya ia sentiasa selaras dengan landskap keselamatan negara.

Menurut Mohd Reza, hanya dengan pembangunan aset pertahanan yang mampan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dapat bersaing dan meningkatkan keupayaan cegah rintang yang menjadi faktor kritikal dalam menjamin kedaulatan negara.

Pada 2022, belanjawan pertahanan Malaysia sekitar RM16 bilion berbanding RM37 bilion di Indonesia dan RM65 bilion di Singapura, — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

Comments
Loading...