Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Serangan Peluru Berpandu Terhadap Moto Sich, “Amaran” Russia Pada Turkiye

Penganalisis pertahanan, Eugene Kogan memberitahu Defense News bahawa serangan peluru berpandu Russia terhadap kemudahan syarikat “Moto Sich” itu adalah satu mesej oleh Moscow tentang ketidakpuasanhatinya dengan pembabitan dan kerjasama menantu Presiden Recep Tayep Erdogan dengan tentera Ukraine.

0 10,677

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Serangan peluru berpandu Russia terhadap kemudahan syarikat aeroangkasa “Moto Sich” d wilayah Khmelnytskyi barat Ukraine, 300km daripada ibu negara Kiev pada 6 Ogos lepas merupakan “mesej tidak langsung” Moscow kepada Turkiye.

“Moto Sich” menghasilkan beberapa jenis enjin yang digunakan oleh dron-dron dan helikopter yang dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye.

Antara syarikat pertahanan Turkiye yang menggunakan enjin keluaran “Moto Sich” adalah Baykar Technology yang menggunakan enjin keluaran syarikat Ukraine itu untuk produknya termasuk Akinci dan Kizilelma.

Motor Sich
Antara enjin dihasilkan oleh Motor Sich

 

Manakala bagi, Turkish Aerospace Industry (TAI) pula,ia menggunakan enjin keluaran syarikat aeroangkasa Ukraine itu untuk pesawat tanpa pemandunya, Anka-3 dan juga helikopter penyerang berat yang sedang dibangunkannya ketika ini, ATAK-2.

Seorang penganalisis pertahanan dikenali dengan nama, Eugene Kogan memberitahu portal pertahanan antarabangsa Defense News bahawa serangan terhadap “Moto Sich” itu adalah mesej Russia berkenaan ketidakpuasan hati Moscow tentang pembabitan dan kerjasama menantu Presiden Recep Tayep Erdogan dengan tentera Ukraine.

Menantu Presiden Turkiye yang dimaksudkan itu adalah Selcuk Bayraktar, ketua pegawai eksekutif Baykar Technology.

“Mungkin Russia mahu menyampaikan mesej kepada Turkiye bahawa, walaupun Moscow dan Ankara mempunyai hubungan yang baik, tetapi penglibatan menantu anda dengan dengan kerajaan Ukraine akan meninggalkan kesan yang besar.”

“Apa-apa kemudahan penghasilan produk tentera, sama ada ia dimiliki oleh tempatan atau asing, adalah sasaran yang sah di mata pihak Russia,” kata penganalisis pertahanan itu.

Moto Sich
Kemudahan syarikat Moto Sich selepas serangan.

 

Syarikat “Moto Sich” dan sebuah lagi syarikat aeroangkasa Ukraine, Ivchenko-Progress telah menjalin kerjasama dengan industri pertahanan Turkiye termasuk membekalkan enjin AI-450 untuk digunakan dron Akinci manakala enjin AI-25TLT untuk kegunaan dron Anka-3 serta Kizilelma.

Syarikat Baykar Technology itu juga sedang dalam peringkat akhir untuk membukakan kemudahan pembuatan dron-dron Bayraktar TB2 dan Akinci di Ukraine, yang berkemungkinan besar akan menggunakan enjin-enjin yang dihasilkan oleh “Moto Sich” itu.

Buat masa ini, syarikat menantu Presiden Turkiye itu membekalkan enam buah dron Bayraktar TB2 kepada tentera Ukraine.

Baykar Technology dan sebuah syarikat Ukraine, Ukrspecexport turut menjalin kerjasama dalam menghasilkan “produk-produk sensitive” untuk industri pertahanan.

Sementara itu seorang diplomat kanan Turkiye memberitahu Defense News bahawa serangan peluru berpandu Russia terhadap kemudahan “Moto Sich” adalah suatu amaran terhadap tindak-tanduk negara Mediterranean dan syarikatnya di Ukraine.

Kizilelma
Pesawat tanpa pemandu “Kizilelma” juga menggunakan enjin keluaran syarikat Motor Sich.

 

Walaupun Turkiye merupakan negara anggota NATO, tetapi ia tetap mengekalkan hubungan yang baik dengan Russia termasuklah memperolehi sistem pertahanan udara S-400 yang menyebabkannya dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.

Bagaimanapun pada bulan lepas, Erdogan telah bertemu dengan Presiden Ukraine Zelensky yang menyokong permohonan negara itu untuk menyertai NATO dalam satu tindakan yang disifatkan oleh penyokong Russia sebagai “menikam belakang” Moscow dan Presiden Vladimir Putin.

Penganalisis yang berpengkalan di Ankara, Okgur Eksi memberitahu portal pertahanan antarabangsa itu bahawa serangan pada 6 Ogos itu adalah “mesej kepada Ukraine dan Turkiye.”

“Serangan Russia itu memusnahkan sebarang harapan terhadap untuk membangunkan enjin keluaran syarikat Moto Sich secara usahasama (Ukraine dan Turkiye) dan rancangan Turkiye untuk memiliki syarikat aeroangkasa Ukraine itu,” kata beliau.

Syarikat Motor Sich itu merupakan antara syarikat strategik yang telah diambilalih oleh kerajaan Ukraine pada Disember tahun lepas.

Selcuk
Selcuk Bayraktar dan dron Kizilelma.

 

Pada November tahun lepas, semua saham syarikat Motor Sich itu telah dipindahkan kepada Kementerian Pertahanan Ukraine di bawaj pemerintahan tentera berikutan pencerobohan tentera Russia di selatan negara itu.

Syarikat yang mempunyai sejarah yang lama dalam pembuatan enjin itu turut menjadi sasaran China yang mahu membeli Motor Sich.

Bagaimanapun usaha China untuk membeli Motor Sich itu dihalang oleh Amerika Syarikat yang menjadi pendokong kuat kepada kerajaan Zelensky.

Akhirnya mahkamah Ukraine menghalang penjualan syarikat strategik itu kepada China. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...