Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Diplomasi Peluru Berpandu” Iran Mula Menunjukkan Hasil? Kurdistan “Mangsa” Pertama…

Penganalisis serantau mendakwa “diplomasi peluru berpandu” oleh Iran di rantau yang sentiasa melihat konflik bersenjata itu mula menunjukkan hasilnya, dengan pihak yang dianggap "musuh ketatnya" sebelum ini mula "gerun" terhadap kemampuan ketenteraan Iran dan berusaha mencari penyelesaian dengan Teheran.

0 1,347

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa minggu selepas Iran bertindak melancarkan serangan peluru berpandu dan dron berani mati terhadap Israel, “perubahan geopolitik” telah mula kelihatan membabitkan pihak-pihak yang dianggap sebagai “musuh ketat” Teheran sebelum ini.

Penganalisis serantau mendakwa “diplomasi peluru berpandu” oleh Iran di rantau yang sentiasa melihat konflik bersenjata itu mula menunjukkan hasilnya, dengan pihak yang dianggap “musuh ketatnya” sebelum ini mula “gerun” terhadap kemampuan ketenteraan Iran dan berusaha mencari penyelesaian dengan Teheran.

Beberapa hari lalu,  Presiden Wilayah Kurdistan di Iraq Nechirvan Barzani telah melakukan lawatan dua hari ke Teheran di mana beliau telah bertemu dengan rakan sejawatannya daripada Iran, Ebrahim Raisi.

Barzani menyifatkan lawatan bersejarahnya ke Teheran yang turut disertai oleh Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai kanannya  sebagai suatu “permulaan baru” dalam hubungan diplomatiknya dengan Iran yang menjadi seterunya sejak beberapa dekad lamanya.

Sejak bertahun-tahun lamanya, kerajaan Iran menuduh etnik Kurdish yang mentadbir tiga wilayah di Iraq sebagai “menempatkan dan mengoperasikan” kumpulan-kumpulan bersenjata anti-Iran sambil dibantu oleh anggota agensi perisikan Israel, Mossad.

Iran
Presiden Wilayah Kurdistan Nechirvan Barzani bertemu dengan Presiden Iran Ebrahim Raisi.

 

Kewujudan kumpulan-kumpulan bersenjata anti-Iran yang dibiayai dan dilatih oleh Mossad di wilayah Iraq yang ditadbir oleh etnik Kurdish merupakan isu utama yang membelenggu hubungan diantara Teheran dan wilayah Kurdistan di Iraq itu.

Barzani mengakui perkara itu dan memberikan jaminan kepada Iran bahawa Kurdistan tidak boleh “menjadi sumber ancaman kepada negara-negara jirannya” dan mengakui bahawa hubungannya dengan Teheran adalah amat penting.

 “Kumpulan-kumpulan bersenjata tidak boleh wujud di Wilayah Kurdistan dan mereka (kumpulan bersenjata) tidak boleh datang ke Iran, melancarkan aktiviti bersenjata dan kembali ke Wilayah Kurdistan. Ini tidak boleh diterima,” kata beliau.

Presiden Iran sebagaimana dipetik oleh agensi berita negara itu pula menekankan bahawa “menghalang elemen Zionis dan anti-Iran daripada menggunakan Wilayah Kurdistan untuk melancarkan serangan terhadap Iran.”

Selain bertemu dengan Raisi, pemimpin Kurdistan itu turut bertemu dengan pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei, Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian dan pegawai kanan negara itu yang lain.

Iran
Ahli perniagaan Kurdish, Peshraw Diyazee yang dilapor rapat dengan agensi periskan Israel, Mossad.

 

Bagi penganalisis serantau,lawatan secara tiba-tiba Barzani sememangnya mengejutkan, terutamanya selepas apa yang berlaku pada awal tahun ini.

Pada Januari lalu, Iran telah melancarkan bedilan peluru-peluru berpandu ballistik terhadap apa yang dipanggilnya sebagai “pusat perisikan Israel” dan “lokasi-lokasi kumpulan anti-Iran berkumpul” berhampiran bandar Erbil di utara Iraq dan di Aleppo, Syria.

Erbil adalah antara bandar utama di Wilayah Kurdistan di Iraq.

Menurut media-media Iran, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan telah melancarkan sejumlah 24 peluru berpandu ballistik terhadap sasaran-sasaran di utara Iraq itu dan di Syria dalam tindakan “balas dendam” terhadap pembunuhan jeneral tentera Iran dan komander kumpulan bersenjata  pro-Iran.

Beberapa lokasi lain di bandar Erbil itu turut menjadi sasaran serangan peluru berpandu ballistik Iran itu.

Salah seorang yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu itu adalah ahli perniagaan Kurdish, Peshraw Diyazee yang dilaporkan mempunyai hubungan baik dengan Israel dan banyak menjalankan kegiatan perniagaan dengan syarikat-syarikat negara Yahudi itu.

Iran
Rumah Peshraw Diyazee yang musnah dibedil peluru berpandu Iran.

 

Menurut kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, serangan peluru berpandu ballistik di Erbil itu telah memusnahkan salah satu daripada pusat perisikan Israel yang paling utama di Erbil yang merupakan ibu negara kepada wilayah separuh otonomi Kurdistan.

Turut terbunuh dalam serangan peluru berpandu Iran yang memusnahkan banglo mewah milik Diyazee di Erbil itu adalah empat orang anggota keluarganya yang lain.

Media-media Iran menyatakan bahawa antara peluru berpandu ballistik yang digunakan oleh Iran dalam serangan semalam adalah “Khaybar Shekan”.

Peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” merupakan varian peluru berpandu ballistik Fateh-110 yang memiliki jarak bedilan lebih jauh dan menggunakan solid propellant.

Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, peluru berpandu ballistik itu boleh membedil sasaran sejauh 1,450km berbanding varian sebelumnya, Dezful yang didedahkan kepada awam pada Feb 2019 yang memiliki jarak bedilan sejauh 1,000 km.

Iran
Kheybar Shekan

 

Peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” merupakan peluru berpandu yang mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran dengan amat tepat dan amat laju, sebagaimana yang ditunjukkan dalam serangan terhadap terhadap utara Iraq dan Syria.

Kepala peledak peluru berpandu “Khaybar Shekan” itu dilaporkan bergerak selaju di antara 7 hingga 9 Mach dalam fasa penerbangan terakhir sebelum ia membedil sasarannya.

Selain memiliki kelajuan yang tinggu, peluru berpandu ballistik itu memiliki tahap kelincahan yang tinggi bagi membolehkan ia mampu mengatasi sistem pertahanan udara pihak musuh,  — DSA

 

 

Comments
Loading...