Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengangkut Kawasaki C-2 Jepun Bakal Dilengkap Peluru Berpandu Jarak Jauh

Bagi meningkatkan lagi kemampuan melaksanakan serangan jarak jauhnya, Jepun bercadang melengkapkan pesawat-pesawat pengangkut Kawasaki C-2 dengan peluru-peluru berpandu stand-off (stand-off missile) yang berkemampuan membedil kedudukan musuh daripada jarak jauh.

0 2,324

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi meningkatkan lagi kemampuan melaksanakan serangan jarak jauhnya, Jepun bercadang melengkapkan pesawat-pesawat pengangkut Kawasaki C-2 dengan peluru-peluru berpandu stand-off (stand-off missile) yang berkemampuan membedil kedudukan musuh daripada jarak jauh.

Jepun bakal mengikut jejak Amerika Syarikat yang juga bercadang melengkapkan pesawat-pesawat pengangkutnya termasuk C-17 Globemaster dan juga C-130 Hercules dengan peluru-peluru berpandu stand-ff jarak jauh, dalam program dinamakan “Rapid Dragon.”

Dengan pesawat-pesawat pengangkut berkemampuan membawa peluru berpandu jarak jauh, negara-negara berminat dengan konsep itu tidak perlu berbelanja besar untuk membeli pesawat-pesawat pengebom yang mahal.

Kawasaki C-2

Menurut laporan media tempatan yang memetik sumber-sumber kerajaan berkata, Kementerian Pertahanan Jepun sedang menimbangkan cadangan untuk melengkapkan pesawat pengangkut Kawasaki C-2 dengan peluru berpandu jarak jauh.

Ia sekaligus memberikan pesawat pengangkut itu dengan kemampuan “counterstrike capability” (kemampuan serangan balas) untuk membedil pangkalan-pangkalan pelancar peluru berpandu milik musuh.

Walaupun sumber-sumber kerajaan Jepun tidak mendedahkan jenis peluru berpandu jarak jauh yang akan digunakan oleh pesawat pengangkut Kawasaki C-2 itu, namun, mereka berkata peluru berpandu AGM-58 Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) adalah salah satu pilihan.

Jepun bakal memperolehi peluru berpandu JASSM itu untuk dilengkapkan oleh pesawat-pesawat pejuang F-15 miliknya yang sedang dinaiktaraf untuk berkemampuan melancarkan peluru berpandu stand-off jarak jauh itu yang boleh membedil sasaran musuh sejauh 900km.

Selain peluru-peluru berpandu JASSM, Jepun juga sedang menaiktaraf kemampuan peluru berpandu anti-kapal buatan syarikat tempatan dinamakan Type 12, yang berkemungkinan juga dibawa oleh pesawat-pesawat pengangkut Kawasaki C-2 untuk motif operasi serangan balas kedudukan musuh.

Kawasaki C-2
Peluru berpandu JASSM.

 

Pada ketika ini peluru berpandu anti-kapal Type 12 buatan Jepun itu hanya mampu membedil sasaran sejauh 200km tetapi selepas dinaiktaraf dan dimodenkan, ia bakal memiliki keupayaan untuk memedil sasaran melebihi 1,000km.

Selain itu,  Tokyo juga bakal memperolehi peluru berpandu Joint Strike Missile untuk dilengkapkan pesawat pejuang F-35 miliknya.

Peluru-peluru berpandu jarak jauh yang dibawa oleh pesawat pengangkut Jepun itu akan dilancarkan ke sasaran beberapa saat selepas digugur daripada pesawat pengangkut terbabit.

Namun Jepun juga berhadapan kekangan untuk melaksanakan strategi baru itu kerana ia hanya memiliki 13 buah pesawat pengangkut Kawasaki C-2 pada ketika ini yang digunakan untuk pelbagai tujuan.

Kawasaki C-2
Peluru berpandu Type-12 Jepun juga boleh dilancar daripada sistem pelancar darat.

 

Sekiranya rancangan melengkapkan pesawat pengangkut dengan peluru berpandu jarak jauh itu dilaksanakan, Jepun terpaksa membina lebih banyak pesawat pengangkut Kawasaki C-2 untuk misi-misi serangan terhadap kedudukan musuh.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Jepun telah meningkatkan belanjawan pertahanannya bagi membolehkan ia melengkapkan angkatan tenteranya dengan pelbagai kemampuan bagi menangani ancaman daripada China dan Korea Utara. — DSA

Kawasaki C-2
Pesawat C-17 Globemaster Amerika mengugurkan bekas mengandungi peluru berpandu.

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...