Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Perang Usang, Berkarat “BRP Sierra Madre” Jadi Pusat Pertikaian Terkini Manila-Beijing

Kapal Landing Ship Tank (LST) usang dan berkarat itu dinamakan BRP Sierra Madre (LT-57) dan pada tahun 1999 Tentera Laut Filipina telah dengan sengaja membiarkan ia terdampar (tersadai) di  Second Thomas Shoal yang terletak di Kepulauan Spratly bagi dijadikan sebagai pos kawalan oleh pasukan tentera Marin Filipina.

0 3,282

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal perang Perang Dunia Kedua usang milik Tentera Laut Filipina kini menjadi punca kepada pertikaian terbaru di antara negara Asia Tenggara itu dengan China berkenaan  pemilikan Laut China Selatan.

Kapal Landing Ship Tank (LST) usang dan berkarat itu dinamakan BRP Sierra Madre (LT-57) dan pada tahun 1999 Tentera Laut Filipina telah dengan sengaja membiarkan ia terdampar (tersadai) di  Second Thomas Shoal yang terletak di Kepulauan Spratly bagi dijadikan sebagai pos kawalan oleh pasukan tentera Marin Filipina.

Second Thomas Shoal itu terletak di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina tetapi dituntut oleh China sebagai miliknya.

Sierra Madre

Sejak daripada 1999, walaupun tidak lagi berfugsi dan berada di dalam keadaan amat usang, namun kapal BRP Sierra Madre terus menjalankan tugasnya sebagai pos keselamatan bagi sekumpulan tentera Marin menegakkan kedaulatan Filipina di  Kepulauan Spratly itu.

Walaupun tidak lagi belayar menggunakan kuasanya sendiri, namun kapal usang dan berkarat itu masih disenarai sebagai salah sebuah kapal Tentera Laut Filipina.

Tidak dapat dinafikan, walaupun berusia tetapi kapal BRP Sierra Madre itu memainkan peranan penting dalam dalam menegakkan kedaulatan Filipina di Laut China Selatan.

Sejarah kapal LST Sierra Madre ini memang amat lama kerana ia telah dilancarkan untuk berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua 1944 dengan nama asalnya, USS Harnett County.

USS Harnett County itu telah berkhidmat untuk Tentera Laut Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua dan juga Perang Vietnam, sebelum ia dipindakan kepada Tentera Laut Vietnam Selatan dan diberikan nama RVNS My Tho.

Sierra Madre
Keadaan dalam kapal BRP Sierra Madre

 

Selepas tamatnya Perang Vietnam, kapal LST itu telah dipindahkan pemilikannya kepada Tentera Laut Filipina yang memberikannya nama BRP Sierra Madre, bersempena dengan pergunungan di negara Asia Tenggara itu.

Baru-baru ini, sebuah kapal pengawal pantai China telah menggunakan meriam airnya terhadap sebuah kapal awam Filipina ketika ia berlayar menuju ke BRP Sierra Madre untuk menghantar bekalan kepada anggota tentera Marin Filipina yang bertugas di kapal perang yang usang dan berkarat itu.

Tindakan kapal pengawal pantai China menggunakan meriam air serta melakukan manuver-manuver berbahaya terhadap kapal bekalan Filipina itu telah dikecam dengan hebat oleh Manila dan Amerika Syarikat serta negara sekutunya.

Walaupun kapal BRP Sierra Madre dan kapal bekalan Filipina itu berada di dalam kawasan perairan ZEE Filipina sebagaimana diiktiraf dibawah UNCLOS 1983, tetapi Beijing tetap mendakwa mereka telah menceroboh perairan miliknya.

Dalam satu kenyataan, China mendakwa bahawa Filipina telah berjanji untuk menunda keluar kapal BRP Sierra Madre itu daripada kawasan perairan di Second Thomas Shoal itu, tetapi dakwaan China itu telah dinafikan oleh Manila.

Sierra Madre
Kapal pengawal pantai China menggunakan meriam air untuk menghalang kapal bekalan Filipina.

 

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menafikan kewujudan sebarang perjanjian untuk menunda keluar kapal BRP Sierra Madre itu sebagaimana didakwa oleh China.

Malah katanya, jika sekalipun ada perjanjian sebagaimana didakwa oleh China itu, beliau menarik balik perjanjian itu dengan serta-merta.

Angkatan Tentera Filipina menerusi satu kenyataan oleh jurucakapnya berkata, ia akan menentang sebarang percubaan oleh China sekiranya ia mahu menggunakan kekerasan untuk memindahkan kapal BRP Sierra Madre.

Kapal perang usang  itu sememangnya telah dengan sengaja “dirosakkan” dan tersadai di Second Thomas Shoal untuk menjadi pos kawalan dan penanda kedaulatan Filipina di Laut China Selatan.

Second Thomas Shoal itu terletak pada kedudukan kira-kira 105.77 batu nautika daripada Pulau Palawan, Filipina dan jelas di dalam perairan ZEE negara Asia Tenggara itu. — DSA

Sierra Madre
Anggota tentera Marin Filipina yang bertugas di BRP Sierra Madre.

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...