Walau Dikritik Kerana “Usia”, Indonesia Tetap Peroleh 12 Mirage 2000-5
“Indonesia memerlukan pesawat pejuang dengan segera (kepada Tentera Udara) untuk menampung penurunan kesiapsiagaan kombat pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu Edwin Adrian Sumantha dalam satu kenyataan sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia meneruskan hasratnya untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 yang sebelum ini digunakan oleh Tentera Udara Qatar, walaupun pihak dalam negara itu mengkritik usia pesawat itu yang disifatkan sebagai “terlalu tua.”
Jakarta menggunakan pinjaman asing berjumlah US$800 juta (RM3.2 bilion) untuk memperolehi pesawat pejuang itu yang mula diperkenalkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation pada tahun 1967.
Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa negara itu telah menandatangani perjanjian pembelian pesawat itu dengan Excalibur International, anak syarikat Czechoslovak Group .

Pesawat-pesawat pejuang terpakai itu akan diserahkan kepada Indonesia 24 bulan selepas kontrak itu ditandatangani.
Pembelian itu meliputi perolehan sembilan buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 satu tempat duduk manakala tiga buah pesawat yang lain adalah dua tempat duduk .
“Apa yang sangat mendesak sehinggakan kita terpaksa membeli pesawat pejuang terpakai dan sudah tua, “ akhbar Kompas memetik kenyataan pembuat undang-undang negara itu, Tubagus Hasanuddin.
Kementerian Pertahanan Indonesia tidak menjelaskan usia pesawat pejuang terpakai dibelinya itu, tetapi pembelian turut meliputi perolehan 14 buah enjin pesawat, tiga tahun khidmat sokongan dan latihan juruterbang.
“Indonesia memerlukan pesawat pejuang dengan segera (kepada Tentera Udara) untuk menampung penurunan kesiapsiagaan kombat pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu Edwin Adrian Sumantha dalam satu kenyataan sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters.

Indonesia merancang untuk meletakkan pesawat-pesawat Mirage 2000-5 diperolehinya di Pangkalan Udara Supadio di Pontianak,Kalimantan yang terletak berhampiran dengan Laut China Selatan.
Tentera Udara Qatar menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang satu enjin yang dibangunkan oleh Dassault Aviation itu pada 2021, tidak lama selepas ia memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale pada 2015 dan 2017.
Comments are closed.