Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Lakukan 281 Perolehan Bernilai RM8 Bilion Tahun Ini – Tok Mat

Kementerian Pertahanan akan melakukan sebanyak 281 perolehan bernilai RM8 bilion pada tahun ini termasuk melibatkan beberapa aset yang telah dirancang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak sekian lama.

8,730

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kementerian Pertahanan akan melakukan 281 perolehan bernilai RM8 bilion pada tahun ini termasuk melibatkan beberapa aset yang telah dirancang sejak sekian lama, menurut Menteri Pertahanan yang baru.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya untuk tahun 2023 di Wisma Pertahanan hari ini yang turut dihadiri oleh kepimpinan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO berkata perolehan oleh Kementerian Pertahanan itu melibatkan ketiga-tiga cabagan ATM.

“Ini termasuklah perolehan meriam 155mm Self-Propelled Howitzer, kenderaan perisai untuk MALBATT 850 di Lubnan dan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) bagi Tentera Darat,” katanya.

Laporan media sebelum ini mengatakan sistem SPH “Yavuz” 155mm buatan syarikat Turki,  Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) berkemungkinan besar menjadi pilihan Tentera Darat.  

Tarantula
Kenderaan perisai “Tarantula” keluaran MILDEF berada di depan Pejabat Perdana Menteri.

 

Dilaporkan bahawa syarikat MA Analytics yang merupakan ejen tempatan bagi MKE telah pun menerima Letter of Intent (LOI) daripada kerajaan bagi perolehan 18 buah “Yavuz” 155mm 52 cal untuk Tentera Darat.

Difahamkan syarikat tempatan itu pada ketika ini sedang giat mengadakan rundingan dengan Kementerian Kewangan berkenaan perolehan sistem meriam bergerak itu yang akan dilakukan secara rundingan terus (direct nego).

Mohamad juga berkata, beberapa buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan menjalani kerja-kerja pasang pulih dan penyelenggaraan.

“KD Laksamana, KD Jerai dan KD Lekir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalani pasang pulih. “

“Penyelenggaraan pesawat C-130 dan pembekalan alat-alat ganti pesawat-pesawat TUDM turut dilakukan,” katanya.

Ada
Kapal korvet kelas-Ada Tentera Laut Turki

 

Menteri Pertahanan yang baru dilantik selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan hasil keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 akhir tahun lepas itu juga berkata, antara perolehan aset-aset strategik yang akan diteruskan melibatkan pesawat peronda maritim dan sistem pesawat tanpa pemandu.

“Perolehan-perolehan aset strategik seperti Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium-Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System (MALE-UAS) masih diteruskan, ” menurut beliau yang turut dikenali dengan panggilan” Tok Mat” itu.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal mengoperasi pesawat peronda maritim (MPA) “ATR 72MP” dan sistem Unmanned Aerial System (UAS) “Anka”, selepas perolehannya disahkan oleh bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Beliau mengesahkan perolehan kedua-dua aset itu dalam siri ciapannya menerusi akaun Twitter Oktober tahun lepas.

Pemilihan pesawat MPA “ATR 72MP” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo dan sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) oleh Kementerian Pertahanan itu telah pun dijangkakan oleh Defence Security Asia sejak beberapa bulan yang lepas hasil daripada maklumat daripada sumber-sumber industri.

Turki
Sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

“Aset baharu @tudm_rasmi. Untuk perolehan dua (2) buah MPA, Kerajaan telah bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leonardo. Manakala bagi perolehan tiga (3) unit MALE-UAS, Kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI).”

“Bagi perolehan MPA & MALE-UAS untuk @tudm_rasmi, @MOFmalaysia telah muktamad kedua-dua tender terbuka antarabangsa,” kata Hishammuddin di dalam ciapannya itu.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu lagi, Kementerian Pertahanan sedang di dalam proses akhir untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima setelah semua terma, klausa serta spesifikasi dipersetujui oleh kerajaan dan syarikat

Mengenai perolehan pesawat pejuang ringan atau Light Combat Aircraft (LCA) pula, beliau berkata akan cuba berusaha untuk memastikan agar perolehan aset untuk TUDM itu dapat direalisasikan pada tahun ini juga.

ATR72
Pesawat MPA “ATR 72 MPA”

 

“Saya juga akan berusaha untuk memastikan perolehan Light Combat Aircraft (LCA) dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan pada tahun ini, ” menurut Mohamad.

Kementerian Pertahanan katanya juga akan memastikan kepentingan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Di samping itu, saya juga akan berusaha untuk memastikan keutamaan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) untuk TLDM dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan,” katanya.– DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments are closed.