Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MINDEF Harap Kapal LCS Pertama Siap “Setahun Dua Ini” – MENHAN

Bercakap pada persidangan Dewan Negara hari ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berharap kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama akan dapat disiapkan di dalam tempoh "setahun dua ini."

0 1,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan berharap kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama dalam dapat disiapkan di dalam tempoh “setahun dua ini” untuk diserahkan kepada pengguna akhirnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bercakap di dalam persidangan Dewan Negara ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Razali Idris hari ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, beliau tidak mampu memberikan tempoh kapal LCS pertama akan siap.

Ini adalah kerana katanya, Kementerian Pertahanan telah diberikan enam bulan untuk memobilisasi projek pembinaan projek pembinaan kapal-kapal LCS selaras dengan keputusan kabinet untuk menyambung semula pembinaan kapal perang itu.

LCS

“Cuma tak mampu sekarang kerana kita diberikan enam bulan selepas keputusan kabinet untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula ini.

“Ia melibatkan engagement dengan vendor di Perancis, sektor perbankan, tetapi untuk Dewan ini saya boleh nyatakan sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa kapal pertama dapat kita siapkan,” katanya di dalam persidangan Dewan Negara itu.

Menteri Pertahanan berkata beliau akan melaporkan kepada orang ramai berkenaan jadual (penyerahan) berperingkat-peringkat kapal-kapal yang telah dijanjikan kepada TLDM.

Beliau juga akan memaklumkan kepada Kabinet berkenaan apa yang telah dilakukan untuk memastikan pembinaan enam buah kapal tempur LCS bernilai RM9 bilion itu siap sebagaimana yang dijadualkan.

Hishammuddin juga berkata bahawa kerajaan juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan berhubung pembinaan kapal-kapal LCS itu.

LCS

“Kerjasama kita kepada PAC adalah ‘total’, Kita telah pun berdepan dengan PAC lebih daripada 15 kali,

“Siapa yang salah, tetap salah. Sekiranya ada penyelewengan atau salah guna kuasa, siasatan sedang berjalan dan tindakan kepada mereka yang terlibat akan diambil,” katanya.

Khamis lepas, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Menurut laporan oleh PAC yang dibentang di Dewan Rakyat itu, didapati TLDM selaku pengguna akhir (end user) dalam program pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

LCS

“Pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.”

Laporan itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.

Laporan PAC yang memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima TLDM pada ketika itu, sebagai berkata keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong” (sesuatu yang amat tidak kena).

Pada 20 April lepas, Kementerian Pertahanan telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan penyelesaian bagi Kontrak Perolehan 6 Buah Kapal Second Generation Patrol Vessel Berkeupayaan LCS Untuk TLDM.

Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan perolehan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak BNSSB dalam pelan pemulihan tersebut.

LCS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

Comments
Loading...