Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sri Lanka Halang Persinggahan “Kapal Pengintip” China, Beijing Berang

India bimbang peralatan-peralatan penjejakan dan pemantauan berkuasa tinggi di bawa oleh “kapal pengintip”, Yuan Wang 5 itu akan digunakan oleh China untuk “mengintip” kemudahan-kemudahan ketenteraan miliknya.

0 1,791

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sri Lanka kini berada di dalam keadaan “tersepit” di antara dua negara kuasa besar disebabkan kehendak sebuah “kapal pengintip” China untuk berlabuh di sebuah pelabuhan di Colombo tetapi dibantah keras oleh India.

New Delhi yang berjiran dengan Sri Lanka dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan China bimbang dengan kehadiran kapal itu, Yuan Wang 5, yang merupakan sebuah kapal pengesanan dan penjejakan pelancaran peluru berpandu ballistik.

Kerapkali kapal ini hanya disebut sebagai kapal pengintip disebabkan peralatan penjejakan dan pemantauan (tracking and surveillance) canggih dibawanya.

Yuan Wang 5
Yuan Wang 5

 

India bimbang peralatan-peralatan penjejakan dan pemantauan berkuasa tinggi di bawa oleh “kapal pengintip” tersebut akan digunakan oleh China untuk “mengintip” kemudahan-kemudahan ketenteraan miliknya.

Sebab itulah, kerajaan India membantah kehadiran kapal pengintip China seberat 25,000 tan itu itu di Sri Lanka.

Kementerian Luar India berkata ia akan terus memantau kesan-kesan terhadap kepentingan ekonomi dan keselamatannya hasil daripada kehadiran “kapal pengintip” China itu dan akan mengambil tindakan balas.

Kerajaan Sri Lanka pada mulanya telah memberikan kebenaran kepada kapal pengintip China itu untuk berlabuh di Pelabuhan Hambatota yang terletak di selatan negara itu bermula daripada 11 hingga 17 Ogos ini.

Bagaimanapun disebabkan oleh siri tekanan diplomatik oleh kerajaan India, Sri Lanka telah meminta Beijing untuk “melambatkan” persinggahan kapal pengintip itu di pelabuhannya itu sehingga ia mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.

Hambatota
Pelabuhan Hambatota

 

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe dilaporkan telah memberi jaminan kepada pemimpin-pemimpin politik negara itu bahawa persinggahan kontroversial kapal Yuan Wang 5 di pelabuhan selatan negara itu itu tidak akan diteruskan.

Sebelum kenyataan oleh presiden negara itu pada Sabtu lepas, persinggahan kapal China itu hanyalah untuk mengisi minyak dan ulang-bekal keperluan lain sebelum ia meneruskan pelayarannya kembali ke China.

Sejak dilanda masalah ekonomi yang kritikal sehingga menyebabkan kerajaan negara itu runtuh dan presiden negara Gotabaya Rajapaksa itu melarikan diri ke Singapura, Colombo amat bergantung kepada New Delhi.

Kerajaan India telah menghulurkan bantuan sebanyak US$3.5 bilion (RM14 bilion) kepada Sri Lanka untuk membantunya menangani kesan-kesan yang berpunca daripada masalah ekonomi.

Sementara itu jurucakap Kementerian Luar China meminta semua pihak supaya melihat aktiviti kajian dan penyelidikan marin negara itu dengan betul dan mengelak daripada mencampuri aktiviti maritim yang sah di sisi undang-undang.

Sri Lanka
Sri Lanka kini sedang mengalami masalah ekonomi yang amat teruk.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Buat masa ini, “kapal pengintip” milik Beijing itu masih lagi berada di luar perairan Sri Lanka menunggu kebenaran untuk singgah di Pelabuhan Hambatota.

Semua negara-negara yang memiliki program peluru berpandu ballistik dan angkasa lepas memiliki kapal-kapal seperti Yuan Wang 5.

Pelabuhan Hambatota yang terletak di Hambatota ini dibina sebahagian besarnya (lebih 85 peratus dengan pinjaman kewangan daripada Exim Bank China pada 2010).

Akibat kerugian yang ditanggung oleh Sri Lanka dalam mengendalikan pelabuhan ini, maka pada 2016 kerajaan Sri Lanka menyerahkan pengendalian pelabuhan ini kepada China. — DSA

 

Comments
Loading...