Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MH17 Malaysia Airlines Ditembak Jatuh Peluru Berpandu “BUK” Russia

"Mahkamah berpandangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 kru," kata Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman itu.

0 1,583

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Mahkamah Belanda mengesahkan hasil dapatan bahawa pesawat penumpang MH17 milik Malaysia Airlines telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dibekalkan oleh Russia dalam tragedi pada 2014, yang mengorbankan hampir 300 orang penumpang.

Mahkamah itu yang mengendalikan perbicaraan empat suspek lelaki dikaitkan dengan insiden berkenaan tanpa kehadiran (absentia) tertuduh dalam penghakimannya berkata peluru berpandu terbabit ditembak dari sebuah padang di timur Ukraine.

Tiga lelaki terbabit didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan penjara seumur hidup manakala lelaki keempat dibebaskan.

Dua lelaki yang didapati bersalah itu adalah bekas pegawai perisik Russia, Igor Girkin dan Sergey Dubinskiy manakala yang ketiga adalah, Leonid Kharchenko, seorang pemimpin pemisah Ukraine yang pro-Russia.

Lelaki warga Russia yang dibebaskan adalah Oleg Pulatov.

MH17

Keempat-empat lelaki itu tidak berada di mahkamah kerana enggan menghadiri perbicaraan sejak ia bermula dua setengah tahun lepas.

“Mahkamah berpandangan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 kru,” kata Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman itu.

Mahkamah berkata, Russia mempunyai kawalan menyeluruh ke atas pasukan tentera kumpulan pemisah di timur Ukraine ketika kejadian.

“Dari pertengahan Mei 2014, Russia mempunyai apa yang dikatakan kawalan menyeluruh ke atas Republik Rakyat Donetsk,” kata Steenhuis merujuk kepada wilayah tempat pesawat itu ditembak jatuh.

Pada 17 Julai 2014, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan anak kapal dari 10 negara berbeza, dengan lebih separuh daripadanya adalah warga Belanda.

MH17

Ketika kejadian, kawasan terbabit adalah lokasi pertempuran antara kumpulan pemisah yang disokong Russia dengan tentera Ukraine.

Keluarga mangsa yang mengikuti penghakiman berkenaan menegaskan, keputusan mahkamah itu merupakan satu peristiwa penting.

Namun, semua tertuduh itu yang berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya sabit kesalahan atas pembunuhan beramai-ramai berikutan dakwaan peranan mereka dalam insiden itu, masih diburu hingga kini.

Keempat-empat tertuduh berkenaan dipercayai berada di Russia yang dilaporkan enggan mengekstradisi mereka.

Sebelum ini media melaporkan pendakwa raya ketika pembukaan perbicaraan pada Mac 2020, berkata jika mahkamah menjatuhkan hukuman, mereka akan melakukan apa saja dalam kuasa mereka untuk memastikan ia dikuatkuasakan sama ada di Belanda atau tempat lain.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

Siasatan diketuai oleh pasukan Belanda, dengan turut disertai Ukraine, Malaysia, Australia dan Belgium.

Membaca lebih lanjut penghakiman mahkamah, Steenhuis berkata, tertuduh tidak mempunyai sebarang kekebalan daripada pendakwaan kerana mereka bukan anggota perkhidmatan bersenjata Russia.

“Tiada sebarang keraguan munasabah bahawa MH17 telah ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK,” katanya. 

Mangsa-mangsa terdiri daripada warga 10 buah negara termasuk 196 warga Belanda, 43 Malaysia and 38 Australia. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

.

Comments
Loading...