Mesir Mula Operasi Sistem Pertahanan Udara Jarak Jauh HQ-9B, Digelar “S-400 China”
Tindakan Mesir yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat di Timur Tengah itu memperolehi sistem pertahanan udara HQ-9B buatan China, menunjukkan langkah strategik Kaherah untuk mempelbagaikan bekalan senjata utamanya untuk turut meliputi China dan tidak hanya bergantung kepada Amerika Syarikat dan Barat.
Mesir dilaporkan telah mula mengoperasi sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B buatan China yang keupayaannya hampir sama dengan S-400 Triumf Russia, mengesahkan langkah kuasa Arab itu kini yang memandang kepada Beijing sebagai pembekal senjata utama mereka kini.
Pengesahan terhadap perolehan sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B oleh Mesir itu datang daripada bekas pegawai tinggi tentera negara itu, Mejar Jeneral Samir Faraq semasa temuramah di sebuah televisyen negara itu.
Dalam temuramah di stesen televisyen itu, beliau mendedahkan bahawa Mesir telah memiliki beberapa buah sistem moden termasuk HQ-9B – sebuah sistem pertahanan udara yang memiliki keupayaan hampir sama atau lebih berbanding S-400 Triumf buatan Russia dan juta Patriot buatan Amerika Syarikat.
Tindakan Mesir yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat di Timur Tengah itu memperolehi sistem pertahanan udara HQ-9B buatan China, menunjukkan langkah strategik Kaherah untuk mempelbagaikan bekalan senjata utamanya untuk turut meliputi China dan tidak hanya bergantung kepada Amerika Syarikat dan Barat.
Ia juga menunjukkan Kaherah di bawah pemerintahan Presiden Abdul Fatah el-Sisi kini memberikan tumpuan kepada peningkatan keupayaan sistem pertahanan udara.
Bukan sahaja Mesir mengesahkan pemilikan sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B, tetapi negara Arab itu juga dilaporkan sedang menimbangkan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang J-10C dan J-35A buatan China.
Sistem HQ-9B dengan keupayaan canggihnya, termasuk kebolehan untuk memintas pelbagai ancaman udara, membolehkan Mesir meningkatkan keupayaan menangani cabaran keselamatan serantau sambil mengharungi dinamik geopolitik yang kompleks.

Sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9, yang sering dibandingkan dengan sistem pertahanan udara S-300 dan S-400 buatan Rusia, direka untuk mengesan, mengunci dan memusnahkan pelbagai ancaman termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu balistik serta peluru berpandu kruis pada jarak jauh dan altitud tinggi.
Antara kelebihan utama sistem HQ-9 adalah radar susunan fasa aktif (phased array radar) yang berupaya mengesan sasaran sejauh lebih 300 kilometer serta mengendalikan pelbagai sasaran serentak dalam satu masa.
Varian terbaharu sistem ini, HQ-9B, mempunyai beberapa penambahbaikan ketara berbanding model asalnya.
HQ-9B dilengkapi dengan peluru berpandu darat-ke-udara (SAM) jarak jauh yang mampu memintas sasaran pada jarak maksimum sehingga 260 kilometer, bergantung kepada jenis sasaran dan profil penerbangannya.
Sistem radar HQ-9B dikatakan berupaya mengesan pesawat pejuang dengan jejak radar rendah, pesawat amaran awal (AWACS), peluru berpandu balistik jarak sederhana serta peluru berpandu kruis, termasuk di persekitaran peperangan elektronik.
Selain itu, HQ-9B boleh menyerang sasaran pada altitud antara 500 meter sehingga 30 kilometer, menjadikannya mampu memintas sasaran di pelbagai ketinggian.
Setiap bateri HQ-9B biasanya terdiri daripada:
-
Sistem radar kawalan tembakan berprestasi tinggi dengan susunan radar fasa aktif.
-
Pelancar peluru berpandu, lazimnya sehingga 8 pelancar untuk setiap unit, dengan setiap pelancar membawa empat peluru berpandu.
-
Kenderaan sokongan logistik termasuk kenderaan pengangkut-pengisi (transporter erector launcher, TEL) dan pusat kawalan operasi bergerak.

Sistem HQ‑9B dibangunkan oleh China Precision Machinery Import and Export Corporation (CPMIEC), sebuah anak syarikat di bawah China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC).
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir dilihat semakin merapatkan diri dengan China dan mula merenggangkan dirinya dengan Amerika Syarikat.
Pada April lalu, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Mesir dan Tentera Udara China (PLAAF) telah mengadakan latihan udara bersama, yang mengesahkan hubungan ketenteraan yang semakin erat antara antara sekutu utama Amerika Syarikat di Timur Tengah itu dengan China.
Latihan udara bersama dinamakan “Eagle of Civilization 2025”.
PLAAF telah menghantar pesawat pejuang J-10C, pesawat tangki udara YU-20 dan pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) KJ-500 untuk menyertai latihan ketenteraan bersama China-Mesir.
Latihan tentera itu bukan sahaja memperkukuh hubungan ketenteraan antara China dan Mesir, tetapi juga mencerminkan perubahan dalam landskap geopolitik di Timur Tengah, di mana negara-negara seperti Mesir semakin galak mencari alternatif dalam kerjasama pertahanan.
Kementerian Pertahanan China menggambarkan latihan itu sebagai usaha untuk “menggalakkan kerjasama praktikal serta memperkukuh persahabatan dan saling kepercayaan,” menandakan detik penting dalam perkembangan hubungan dua hala antara Beijing dan Kaherah.
“Ini merupakan latihan ketenteraan bersama yang pertama antara kedua-dua negara, dan ia amat penting dalam usaha menggalakkan kerjasama pragmatik serta memperkukuh persahabatan dan kepercayaan bersama.”
Menurut laporan South China Morning Post, latihan tentera tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua angkatan udara serta berkongsi kepakaran dalam taktik pertempuran udara moden.
Bercakap kepada Global Times, seorang pakar hal ehwal ketenteraan dari China, Wang Yunfei berkata kepada Global Times bahawa China dan Mesir menjalin hubungan ketenteraan yang baik, dan latihan bersama pertama ini akan mengukuhkan lagi persefahaman serta persahabatan antara kedua-dua negara.
Menurutnya, tentera udara kedua-dua negara turut berkongsi beberapa kaedah latihan dan taktik yang hampir serupa, dan latihan bersama ini berpotensi membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang perolehan aset ketenteraan pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa pihak Mesir berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat keupayaan pesawat-pesawat pejuang buatan China menerusi latihan ini.
Mesir kini giat memperkukuh kerjasama pertahanan dengan China, mencerminkan gabungan strategi yang dirancang secara teliti melibatkan penyesuaian semula dasar ketenteraan, kepelbagaian teknologi dan pendekatan geopolitik yang pragmatik.
Langkah ini diambil ketika Kaherah berdepan ketidaktentuan dalam penghantaran senjata daripada pembekal tradisional seperti Amerika Syarikat dan Rusia, sekali gus mendorong Mesir untuk mendekati Beijing sebagai rakan pertahanan yang lebih dipercayai dan bebas daripada syarat politik yang ketat.
