Menteri Pertahanan Akan Ke Korea Selatan Bulan Depan. Lagi Banyak Perolehan Bakal Menyusul?
Sudah pasti, fokus lawatan Menteri Pertahanan ke Korea Selatan bulan depan itu akan menjuruskan kepada topik mempereratkan lagi hubungan pertahanan, bukan sahaja di antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat industri pertahanan kedua-dua negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerjasama lebih erat di antara Malaysia dan Korea Selatan akan menjadi tumpuan apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat negara Asia Timur bermula pada 8 Sept hingga 13 Sept depan.
Sudah pasti, fokus lawatan Menteri Pertahanan ke Korea Selatan bulan depan itu akan menjuruskan kepada topik mempereratkan lagi hubungan pertahanan, bukan sahaja di antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat industri pertahanan kedua-dua negara.
Setakat ini tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang jadual lawatan Mohamed Khaled ke Korea Selatan pada bulan depan itu, tetapi apa yang pasti adalah beliau akan melawat Korea Aerospace Industries (KAI).
Lawatan ke KAI itu bakal menjadi highlight kepada lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan ke Korea Selatan, memandangkan “pelaburan besar” yang dibuat negara kepada KAI dalam usaha meningkatkan kemampuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Defence Security Asia difahamkan bahawa ada beberapa lagi “pelaburan besar” di dalam sektor pertahanan sedang dicadangkan pada ketika ini membabitkan syarikat-syarikat pertahanan Malaysia dan Korea Selatan.

Maklumat tentang “pelaburan besar” akan dikeluarkan apabila sudah mendapat clearance, tetapi apa yang sudah pasti, jika ia menjadi realiti maka sememangnya hubungan pertahanan di Malaysia dan Korea Selatan itu bakal diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi selepas ini.
Pada tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak dengan KAI bagi perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 billion.
Malaysia dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat FA-50 Block 20 pada akhir tahun 2026.
Pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 atau secara rasminya diberikan nama FA-50M (Malaysia) itu adalah varian paling berkemampuan dan berkeupayaan dalam keluarga FA-50 yang turut digunakan oleh beberapa negara lain.
Hanya Poland sahaja memiliki varian FA-50 Block 20 itu.
Comments are closed.