Mengapa Arab Saudi Mahu Perolehi 100 Buah Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye KAAN ??
Sejak 2017, Arab Saudi telah berusaha untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 buatan firma Amerika Syarikat, Lockheed Martin itu tetapi berhadapan dengan pelbagai rintangan dan halangan sehingga membantutnya niatnya untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima kebanggaan Washington itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kegagalan membeli pesawat pejuang generasi ke-5 buatan Amerika Syarikat, F-35 dan dasar mempelbagai import senjatanya untuk tidak terlalu bergantung dengan Washington, dipercayai adalah dua sebab utama mengapa Arab Saudi berhasrat untuk memperolehi sehingga 100 buah pesawat pejuang generasi ke-5 buatan Turkiye, KAAN.
Sejak 2017, Arab Saudi telah berusaha untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 buatan firma Amerika Syarikat, Lockheed Martin itu tetapi berhadapan dengan pelbagai rintangan dan halangan sehingga membantutnya niatnya untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima kebanggaan Washington itu.
Sebab utama yang menghalang pemilikan pesawat pejuang F-35 oleh Arab Saudi adalah halangan daripada Israel itu sendiri dan pelobi-pelobinya di Washington yang bimbang rejim Tel Aviv akan hilang “kelebihan kualitatif ketenteraan” (Qualitative Military Edge) berbanding negara-negara Arab terutamanya Arab Saudi sekiranya Riyadh dibenarkan memiliki pesawat pejuang generasi kelima itu.
Bukan sahaja Israel menyuarakan bantahannya terhadap hasrat Arab Saudi untuk memiliki F-35, tetapi rejim Yahudi itu juga membantah cadangan menjual 50 buah pesawat pejuang F-35 itu kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2020, walaupun Presiden Trump telah meluluskan penjualan itu.
Semuanya gara-gara kebimbangan bahawa Israel akan kehilangan “kelebihan kualitatif ketenteraan” (QME) terhadap negara-negara Arab.
Alasan bimbang akan kehilangan QME juga merupakan sebab utama mengapa Israel membantah keras cadangan penjualan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh AIM-120 AMRAAM dan METEOR untuk digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang F-16 dan Rafale yang digunakan oleh Mesir dan beberapa negara lain.
Selain itu, Arab Saudi juga dilaporkan dikenakan “syarat” sebelum diberikan lampu hijau untuk memiliki F-35 seperti Riyadh bukan sahaja perlu mengiktiraf kewujudan “negara haram” Israel, tetapi negara Arab Teluk yang kaya dengan sumber minyak itu perlu menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv pada ketika negara haram Yahudi itu masih menjajah Palestin dan melakukan pembunuhan terhadap warga Palestin.
Selain itu, dasar mempelbagai sumber sistem persenjataanya dengan tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat juga dikatakan adalah antara sebab utama Arab Saudi menyatakan hasrat mahu memiliki pesawat pejuang generasi ke-5 buatan Turkiye, KAAN.
Pada ketika ini, Tentera Udara Diraja Arab Saudi mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-15 dan Eurofighter Typhoon dan kemasukan pesawat pejuang KAAN daripada Turkiye sekiranya menjadi realiti bakal mempelbagaikan lagi armada pesawat pejuang tentera udara negara Arab Teluk kaya-raya itu.
Mempelbagai sumber sistem persenjataannya adalah dasar yang penting bagi Arab Saudi dan ia telah dipraktikkan dengan agresif oleh Riyadh akhir-akhir ini, terutamanya ketika hubungan dua hala antara Riyadh dan Washington tidak begitu “mesra” ketika dibawah pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat Jo Biden.
Pada ketika pentadbiran Jo Biden, Arab Saudi telah meningkatkan hubungan pertahanan dan luar dengan China dan Russia dengan memperolehi pelbagai jenis sistem persenjataan yang dibangunkan oleh kedua-dua negara kuasa besar dunia itu.
Terkini adalah laporan oleh Defence Security Asia semalam yang menyatakan bahawa Arab Saudi telah membelanjakan US$2.3 billion (RM10.1 billion) untuk memperolehi secara “senyap-senyap” 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir-S1M buatan Russia.
Perolehan 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir- S1M oleh Arab Saudi itu telah didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dinamakan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP), yang memetik laporan dalaman daripada Ruselectronics (Roselektronika).
Ruselectronics merupakan anak syarikat kepada syarikat pertahanan Russia, ROSTEC.
Selain 39 buah sistem pertahanan udara buatan Russia itu, penghantaran turut melibatkan 10 buah post pemerintahan bergerak selain ratus peluru berpandu, kenderaan pengangkut dan sistem komunikasi bagi sistem pertahanan udara itu.
Pada akhir Disember tahun lepas, media-media melaporkan bahawa Arab Saudi bercadang untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikatakan telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Lawatan Putera Turki ke Turkiye itu telah memberikan beliau dan delegasi Arab Saudi dengan maklumat terkini tentang kemampuan pesawat pejuang KAAN itu serta cadangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara berkenaan pesawat pejuang generasi kelima itu, “ menurut laporan media pertahanan antarabangsa.
Kerjasama itu berkemungkinan melibatkan pemindahan teknologi dan pembuatan pesawat pejuang generasi kelima itu dalam negara.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan Arab Saudi dan Turkiye mahu mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua kuasa serantau itu.
Pada 18 Julai tahun lepas, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu ( dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
TAI merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
— DEFENCE SECURITY ASIA