Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MAWILLA 4 Penting Untuk Pertahan Hak Negara Di Laut China Selatan

Kewujudan Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Samalaju, Bintulu itu sudah pastinya akan membantu pihak keselamatan negara terutamanya TLDM dalam memperketatkan lagi kawalan keselamatan maritim di Laut China Selatan.

0 1,778

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha mewujudkan pangkalan pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sarawak bakal direalisasikan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada September tahun lepas.

Rancangan Malaysia Ke-12 bermula pada tahun lepas dan akan berakhir tahun 2025.

Kewujudan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Samalaju, Bintulu itu sudah pastinya akan membantu pihak keselamatan negara terutamanya TLDM dalam memperketatkan lagi kawalan keselamatan maritim di Laut China Selatan.

TLDM
(TLDM)

 

Kawasan tumpuan kapal-kapal peronda TLDM sudah semestinya adalah Beting Patinggi Ali yang kerapkali diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai China serta kapal milik agensi-agensi penguatkuasaan negara itu yang lain.

Dengan adanya MAWILLA 4 di Bintulu, kapal-kapal peronda TLDM boleh dikerah ke Beting Patinggi Ali dan kawasan sekitarnya dengan cepat kerana kedudukan kedua-duanya hanyalah kira-kira 80 batu nautika (148km).

Pada ketika ini, rondaan di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali dilakukan oleh kapal-kapal TLDM yang berpengkalan di Pangkalan Kota Kinbalu.

Apa perkembangan pembinaan MAWILLA  4 sejak Perdana Menteri mengumumkan pembinaannya pada September tahun lepas?

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata keperluan kritikal untuk mewujudkan MAWILLA  4 di Bintulu akan dibentang pada sidang Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh terdekat ini.

TLDM
(TLDM)

 

Kementerian Pertahanan juga akan mendaftarkan permohonan peruntukan bagi perolehan tanah di Kawasan Perindustrian Samalaju, Tanjung Borkam, Bintulu dalam Pelan Pelaksanaan ketiga 2023, di bawah RMK-12. 

“Surat permohonan bagi tapak MAWILLA  4 telah dimajukan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Gajian Negeri Sarawak pada 9 Feb lepas.

“Dengan perancangan teliti, Kementerian Pertahanan menjangkakan tiada permasalahan bagi projek (pembinaan MAWILLA  4 di Bintulu) ini dapat dilaksanakan dalam RMK-12,” katanya.

MAWILLA  4 dijangka beroperasi pada RMK-13 (tahun 2026-2030).

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pula dilaporkan berkata bahawa proses pengambilan tanah bagi pembinaan MAWILLA  4 itu telah pun memasuki peringkat akhir.

TLDM
(TLDM)

 

“Pangkalan ini apabila siap nanti akan menjadi Markas Wilayah Laut 4 untuk menempatkan kapal-kapal TLDM di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Latihan Pelayaran ‘Operational Sea Training Excercise East’ (OSTEX EAST) 1/22 pada Mac lalu.

TLDM menurutnya, tidak mampu menempatkan kapal-kapalnya dalam jangka masa panjang di pelabuhan awam di Sarawak kerana kos yang tinggi, sekaligus meningkatkan keperluan TLDM untuk membina pangkalannya sendiri.

Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM merupakan pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan perairan Sabah dan Sarawak pada ketika ini.

Panjang kedua-dua pantai Sabah dan Sarawak adalah kira-kira 2,800km.

Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Strategik dan Pusat Pertahanan dan Kajian Keselamatan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Tharishini Krishnan dalam penulisannya di dalam akhbar New Straits Times berkata bahawa kewujudan MAWILLA 4 boleh juga membantu usaha-usaha pembangunan ekonomi di kawasan itu.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

“Kawasan-kawasan geologi Sarawak di West Baram Delta, Balingian, Central Luconia, Tinjar, Tatau, West Luconia dan North Luconia memiliki khazanah perikanan dan sumber hidrokarbon,” kata beliau sambil menambah sumber minyak dan gas adalah banyak di kawasan itu.

Dengan projek-projek “Enhanced Oil Recovery” (EOR), syarikat-syarikat minyak dan gas telah melakukan pelaburan yang banyak di Sabah dan Sarawak dengan potensi untuk menjana keuntungan adalah amat besar.

Oleh kerana itu katanya, TLDM memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kawasan perairan itu selamat selain memberikan sokongan untuk akses serta penerusan projek-projek pesisir (offshore projects.)

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Sebagaimana yang berlaku di banyak bandar, pangkalan-pangkalan tentera menjadi pencetus kepada pembangunan ekonomi setempat.

“Oleh kerana itulah, projek pembinaan MAWILLA 4 perlu bermula dengan segera.”

“Markas itu akan mengukuhkan lagi kedudukan kita di Laut China Selatan, memberikan jaminan keselamatan kepada komuniti maritim setempat dan memberikan kesan ekonomi yang positif kepada Bintulu di dalam jangkamasa yang panjang,” kata beliau. — DSA

 

Comments
Loading...