Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Sah Akan Bina MAWILLA 4 di Bintulu, Sarawak

Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) dan pangkalan udara "bare bone base" TUDM di Bintulu, Sarawak akan memastikan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa dekat dengan Laut China Selatan.

0 11,672

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tidak lama selepas mengumumkan pembinaan pangkalan udara “bare bone base” TUDM di Bintulu, kerajaan hari ini pula menyatakan ia akan membangunkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu,Sarawak dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Langkah membangunkan MAWILLA 4 itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan keselamatan Sabah dan Sarawak.

“Pemilihan Bintulu untuk menempatkan MAWILLA 4 adalah berdasarkan lokasi strategik daripada segi kedudukan dan pemusatan operasi maritim di Laut China Selatan.”
“Ianya (penubuhan MAWILLA 4 di Bintulu) telah lama dihasratkan untuk membolehkan kita meningkatkan keupayaan dan sokongan operasi TLDM. TLDM dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sedang mengenalpasti tapak yang bersesuaian untuk pembinaan MAWILLA 4.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada ucapan penggulungan Kementerian Pertahanan tentang RMK12 di Parlimen hari ini.

TLDM

Pembangunan MAWILLA 4 dan pengkalan udara “bare bone base” TUDM di Bintulu merupakan strategi kerajaan untuk mengukuhkan lagi kawalan dan pengawasan terhadap kawasan perairan milik negara di Laut China Selatan.

Pemilihan Bintulu itu amat tepat kerana ia terletak tidak jauh daripada kawasan-kawasan perairan di mana Beting Patinggi Ali dan James Shoal terletak, yang kini kerap diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai dan tentera laut China.
Perairan di sekeliling Beting Patinggi Ali dan James Shoal itu pula kaya dengan sumber minyak dan gas.

Untuk memastikan keselamatan Sabah pula, Menteri Pertahanan itu berkata, penubuhan Briged ke-5 di Kem Paradise di Kota Belud akan bertindak sebagai “in-depth element” yang bersiap-sedia untuk membantu “forward element” di sempadan sekiranya diperlukan dalam menangani masalah ancaman keselamatan terhadap Sabah.

Tentang keselamatan di pantai timur Sabah pula, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penubuhan Markas Angkatan Tugas Bersama di Kem Kukusan, Tawau menggabungkan kekuatan tiga perkhidmatan untuk memastikan ATM mampu menangani ancaman keselamatan di kawasan itu.

Tentera Sempadan

Selain itu, TLDM juga telah menempatkan Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu yang bertanggungjawab terhadap semua pangkalan laut di Sabah dan Sarawak.

TLDM juga telah mewujudkan MAWILLA 2 di Sandakan untuk memantau perairan di Pantai Timur Sabah, manakala TUDM pula mewujudkan Markas Udara Wilayah 2 di Labuan dan Pusat Bantuan Operasi Udara di Tawau untuk memantau keseluruhan ruang udara di negeri Sabah.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...