Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

APMM Sahkan Pencerobohan Kapal China Di Beting Patinggi Ali Pada 4 Jun Lepas

Kejadian pencerobohan itu berlaku seminggu selepas 16 buah pesawat tentera China dilaporkan menceroboh ruang udara di Beting Patinggi Ali, yang juga dipanggil Luconia Shoals, yang diketahui sebagai amat kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

0 1,709

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah mengesahkan pencerobohan sebuah kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali, yang terletak kira-kira 84 batu nautika daripada Miri.

Kejadian pencerobohan itu berlaku seminggu selepas 16 buah pesawat tentera China dilaporkan menceroboh ruang udara di Beting Patinggi Ali, yang juga dipanggil Luconia Shoals, yang diketahui sebagai amat kaya dengan sumber minyak dan gas asli.

Ketua APMM Miri Kapten Md Fauzi Othman yang mengesahkan perkara itu berkata, kapal pengawal pantai itu memasuki perairan Malaysia pada 4 Jun, kira-kira 84 batu nautika (155km) daripada pantai Miri, lapor The Borneo Post.

“Ya, saya boleh sahkan kita menerima laporan berkaitan pengawal pantai China memasuki perairan kita pada 4 Jun.

“Aset APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengawasi keadaan dengan teliti,” kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Miri, Md Fauzi Othman.

Kasawari
Gambar yang dikirim kepada DSA pada 4 Jun lepas mengenai kehadiran sebuah kapal pengawal pantai China di kawasal pembangunan gas Kasawari, Sarawak.

 

Pada 4 Jun lepas, pembaca Defence Security Asia telah mengirim sekeping gambar yang mendakwa sebuah kapal pengawal pantai China berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di perairan Sarawak.

Seperti yang dapat dilihat semua, data yang kelihatan dalam gambar itu menunjukkan gambar itu diambil pada hari ini, 4 Jun 2021 pada pukul 07.59 pagi.

Gambar menunjukkan apa yang didakwa beliau sebagai sebuah kapal pengawal pantai China berada dekat dengan sebuah kapal milik kontraktor tempatan yang dipercayai terlibat dengan kerja-kerja sokongan mencari gali minyak dan gas di perairan Sarawak itu.

Beliau yang juga enggan mendedahkan identitinya, bagaimanapun mendakwa bahawa insiden kehadiran kapal pengawal pantai China pada hari ini telah berlaku di kawasan pembangunan gas asli  Kasawari yang terletak di dalam Blok SK316 di Central Luconia Province, Malaysia.

Kawasan pembangunan gas asli Kasawari itu dikatakan terletak kira-kira 200km daripada pantai Bintulu, Sarawak.

Ia terletak di dalam kawasan perairan ZEE milik negara.

Luconia Shoals
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam satu kenyataan hari ini.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...