Malaysia Tunggu Keputusan Kuwait Berhubung Hasrat Perolehi F/A-18 Hornet Milik KAF
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat pejuang buatan syarikat McDonnel Douglas (kini sebahagian Boeing) itu susulan perbincangan dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke negara Timur Tengah itu untuk menilai pesawat pejuang itu Jun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan (Mindef) kini hanya menunggu keputusan dapada kerajaan Kuwait berhubung hasratnya untuk memperolehi pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik tentera udara negara Timur Tengah itu (Kuwait Air Force – KAF).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat pejuang buatan syarikat McDonnel Douglas (kini sebahagian Boeing) itu susulan perbincangan dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke negara Timur Tengah itu untuk menilai pesawat pejuang itu Jun lepas.
“Jadi, kita dalam proses dan kita hanya doa berharap kerajaan Kuwait boleh menimbang permintaan itu. Secara formal kita belum buat (perolehan), tetapi secara tidak formal mereka sudah tahu sebab kita telah hantar pasukan-pasukan kita untuk membuat penilaian terhadap kapal terbang.
“ … dan didapati bahawa ia sesuai untuk kegunaan kita dan juga selari dengan perancangan kita untuk mempunyai aset-aset tentera udara yang boleh menampung operasi dan cabaran yang kita hadapi di dalam kawasan negara pada masa ini,” katanya sebagaimana dipetik oleh BERNAMA di Perak hari ini.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
“TUDM masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18D Hornet walaupun negara Arab itu terpaksa menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet sedia ada disebabkan penghantaran pesawat pejuang F/A-18E/F (Super Hornet) dibeli oleh Kuwait berdepan kelewatan.
“Kuwait mempunyai 39 pesawat itu (F/A-18D Hornet) terdiri daripada pesawat satu dan dua tempat duduk sahaja. Jadi pada lawatan itu nanti pihak TUDM dan kerajaan Malaysia sendiri akan menentukan jumlah pesawat yang diperlukan,” katanya kepada media tempatan Mei lalu.
Beberapa hari lalu, Mohamed Khaled telah menerima kunjungan hormat duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed ALSALEH dan antara topik perbincangan antara mereka meliputi soal hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Panglima TUDM.
Menurut kenyataan oleh Menteri Pertahanan menerusi akaun FB miliknya, Malaysia berbesar hati melihat kemajuan positif dalam hubungan bilateral dan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
Kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara akan terus diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani kelak.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.”
“Pertemuan tersebut turut membincangkan soal “Military-to-Military Cooperation”, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza,” kata beliau di dalam posting terbaru FB itu.
Malaysia merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilengkapi dengan membeli pesawat (MRCA yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya, Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion. — DSA
Comments are closed.