Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Mahu Pindahkan A-10 “Thunderbolt” Pada Sekutu Utamanya di Timur Tengah, Jordan

Pada Isnin lalu, Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Senat Amerika Syarikat telah secara rasminya meminta Jabatan Pertahanan negara itu (Pentagon) untuk menimbang kemungkinan memindahkan pesawat-pesawat A-10 "Thunderbolt" yang akan dibersarakan itu kepada Jordan, sekutu utamanya di rantau Timur Tengah.

0 842

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jordan kini muncul sebagai destinasi pilihan kepada pesawat-pesawat pejuang serangan darat A-10 “Thunderbolt” yang bakal dibersarakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) menjelang tahun 2030.

Sebelum ini terdapat rancangan untuk membekalkan pesawat-pesawat pejuang darat A-10 itu kepada Ukraine, namun sekutu rapat Amerika Syarikat di Timur Tengah, Jordan menjadi pilihan kepada pesawat-pesawat yang memiliki rekabentuk yang unik itu.

Selain Jordan dan Ukraine, sebuah lagi negara yang menunjukkan minat untuk memiliki pesawat pejuang serangan darat A-10 adalah Colombia.

Pada Isnin lalu, Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Senat Amerika Syarikat telah secara rasminya meminta Jabatan Pertahanan negara itu (Pentagon) untuk menimbang kemungkinan memindahkan pesawat-pesawat A-10 “Thunderbolt” yang akan dibersarakan itu kepada Jordan, sekutu utamanya di rantau Timur Tengah.

Jordan memerlukan pesawat-pesawat pejuang serangan darat seperti A-10 untuk menangani operasi-operasi anti-terrorisme terutamanya di kawasan sempadannya dengan Syria serta Iraq.

Sehingga awal tahun ini, USAF masih memiliki 218 buah pesawat pejuang serangan darat A-10 yang masih berkhidmat dengan pelbagai unitnya, termasuk pasukan simpanan dan Air National Guard.

A-10

Menyedari pesawat A-10 “Thunderbolt” tidak lagi berkemampuan untuk “menyelamatkan” dirinya daripada sistem pertahanan udara moden masa kini, pihak tentera Amerika Syarikat memutuskan untuk menoktahkan perkhidmatan yang panjang pesawat pejuang yang memiliki rekabentuk unik itu pada 2029.

Tahun ini, usia pesawat A-10 yang dibangunkan oleh syarikat Fairchild Aircraft lebih dikenali dengan panggilan “Warthog” (babi hutan) sudah pun mencecah 51 tahun sejak ia melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 1972.

Malah syarikat Fairchild Aircraft yang membangunkan pesawat A-10 itu pun sudah lama bungkus dan diambilalih oleh syarikat M7 Aerospace, sebelum ia juga dibeli oleh syarikat Elbit Systems.

Ketika dibangunkan, pesawat-pesawat A-10 Thunderbolt dibangunkan untuk melaksanakan misi di Eropah ketika ketegangan Perang Dingin sedang memuncak.

Bagaimanapun, pesawat itu sebenarnya lebih banyak melihat aksi ketika Perang Teluk serta konflik di Afghanistan apabila ia menjadi begitu popular dengan anggota tentera darat Amerika.

Malah prestasi baiknya ketika Perang Teluk dan konflik di Afghanistan telah menyelamatkan pesawat A-10 itu daripada ditamatkan khidmatnya lebih awal oleh pihak tertinggi tentera udara Amerika Syarikat.

Dilengkapi dengan tujuh meriam 30mm GAU/Avenger “Gatling Gun” yang berkemampuan meledak 3,900 tembakan seminit untuk memusnahkan kereta kebal,kereta perisai dan kedudukan tentera musuh, pesawat A-10 Thunderbolt sememangnya adalah igauan ngeri bagi armor dan infrastruktur pertahanan musuh. 

Selain meriam 30mm dengan pelurunya sebesar botol Coca Cola, pesawat A-10 itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu “Maverick” dan bom-bom panduan JDAM.

Sebenarnya tentera Amerika Syarikat sudah mula bercadang untuk menamatkan khidmat pesawat A-10 itu seawal tahun 1991,tetapi ia gagal dilaksana disebabkan prestasi baik yang ditunjukkan oleh pesawat itu dalam Perang Teluk.

Dalam Perang Teluk itu ia didakwa memusnahkan ratusan kereta kebal serta kereta perisai milik tentera Saddam Hussein dan konflik Afghanistan.

Mengikut perancangan terkini, tentera Udara Amerika Syarikat akan mula membersarakan 21 buah pesawat A-10 miliknya pada tahun ini diikuti perkhidmatan-perkhidmatan lain, sehinggalah kesemua 218 buah pesawat itu ditamatkan perkhidmatannnya menjelang 2029.

Tempat pesawat A-10 yang direkabentuk sebagai pesawat “close air support” (CAS) itu pada mulanya dicadang diambilalih oleh pesawat F-16.

Tetapi memandangkan pesawat F-16 itu juga telah berusia dan juga akan dibersarakan di dalam tempoh sedekad lagi, maka Amerika Syarikat merancang menggantikan pesawat Thunderbolt dengan tugasan CAS itu dengan pesawat-pesawat F-35 sesuai dengan peranannya sebagai pesawat pejuang pelbagai guna.

Persoalannya,adakah pesawat F-35 berkemampuan memainkan peranan sebagai pesawat Close Air Support (CAS) kepada anggota tentera darat dilapangan, sebagaimana dimainkan oleh pesawat-pesawat A-10 Thunderbolt itu? — DSA

 

Comments
Loading...