Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Pandang Serius Ancaman Tentera Israel -KDN

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan malam ini berkata,  pihaknya mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

0 1,050

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh tentera Israel terhadap “operatif-operatif” Hamas sama ada di Semenanjung Gaza atau luar negara seperti di Iran, Turki, Qatar dan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan malam ini berkata,  pihaknya mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi keselamatan lain katanya,  telah bertindak meningkatkan kawalan keselamatan untuk memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di Malaysia.

KDN juga menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.

Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.

Israel
Tentera Israel

 

Kenyataan Hamzah itu berikutan laporan oleh sebuah stesen televisyen Israel,  Channel 13 bahawa pihak tentera negara telah memberi lampu hijau kepada usaha-usaha mensasarkan operatif Hamas di semua peringkat sama ada yang berada di dalam Semenanjung Gaza atau di luar.

Menurut ciapan Twitter oleh Jonathan Schanzer @JSchanzer, arahan oleh tentera Israel atau IDF (Israel Defence Force) itu “mempunyai implikasi” terhadap beberapa negara seperti Iran, Turkey, Qatar dan Malaysia.

“ Channel 13 melaporkan bahawa IDF telah memberi lampu hijau untuk mensasarkan semua operatif Hamas di semua peringkat, sama ada di dalam Gaza atau di luar. Implikasi untuk Iran, Turki, Qatar, Malaysia, etc. “ (terjemahan).

“Channel 13 reporting that IDF has given a green light to targeting *all* Hamas operatives at *all* levels, both inside Gaza and out. Obviously implications for Iran, Turkey, Qatar, Malaysia, etc.” – tulis Schanzer di dalam ciapan akaun Twitternya.

Pihak keselamatan Israel atau media-medianya sejak daripada dahulu lagi telah mendakwa bahawa Malaysia sebagai salah satu pusat gerakan bagi “operatif-operatifnya” termasuk kemungkinan sebagai pusat “fund-raising”, mendapat sumber teknologi atau latihan dan lain-lain.

Ini ditambah pula, sokongan kuat Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta hubungan baik kerajaan Malaysia dengan Pihak Berkuasa Palestin dipimpin oleh Fatah (Tebing Barat) atau Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...