Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Mahu Penghantaran Pesawat Pejuang Ringan FA-50M Disegerakan

Bercakap kepada wartawan Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada hari terakhir lawatan kerja beliau ke negara Asia Timur itu, beliau mahukan proses penghantaran pesawat pesawat pejuang ringan dibangunkan oleh firma Korea Aerospace Industries (KAI) itu disegerakan.

0 8,805
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan proses penghantaran 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperolehi Malaysia daripada Korea Selatan dipercepatkan.
Bercakap kepada wartawan Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada hari terakhir lawatan kerja beliau ke negara Asia Timur itu, beliau mahukan proses penghantaran pesawat pesawat pejuang ringan dibangunkan oleh firma Korea Aerospace Industries (KAI) itu disegerakan.
“Kita meminta disegerakan (proses) pembelian yang beberapa tahun lalu diputuskan (iaitu) 18 unit pesawat FA-50M, yang sepatutnya sampai pada 2026.
“Kalau boleh dipercepatkan,” kata Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan tetapi tidak menjelaskan dengan lanjut tempoh sepatutnya Malaysia menerima pesawat pejuang ringan itu.
Kementerian Pertahanan Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai RM4 billion pada Mei tahun lepas ketika LIMA 2023 untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (FA-50 Block 20.
FA-50
FA-50
Ketika melawat kemudahan milik KAI di Korea Selatan September lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin menyatakan bahawa proses pembinaan pesawat pejuang milik Malaysia itu telah pun mencapai 39 peratus.
TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50M pada bulan Oktober 2026.
Pesawat-pesawat FA-50M selebihnya akan diterima oleh TUDM secara berperingkat selepas itu dengan pesawat terakhir dijangka diterima pada tahun 2028.
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa  buat masa ini kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa latihan juruterbang akan bermula pada awal tahun 2026 melibatkan enam orang juruterbang untuk tempoh di antara tiga hingga enam bulan.
Ia akan meliputi dengan latihan menggunakan simulator.
Korea Selatan
FA-50
Latihan intensif yang bakal dijalani oleh juruterbang TUDM itu akan berlangsung selama tiga hingga enam bulan, bergantung kepada prestasi juruterbang terbabit.
Latihan itu akan dilaksanakan di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) di Gwangju, negara Asia Timur itu.
““Latihan intensif itu akan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 ‘Golden Eagle’ yang dibangunkan secara bersama di antara Korea Aerospace Industries (KAI) dan Lockheed Martin dari Amerika Syarikat.
“Hanya selepas latihan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 ‘Golden Eagle’ itu, mereka (juruterbang TUDM) akan beralih untuk mengendalikan pesawat pejuang ringan FA-50M sebenar, yang diperoleh negara,” kata sumber itu.
Antara perbezaan utama di antara varian FA-50M milik Malaysia dengan varian lain ialah pesawat pejuang ringan milik TUDM itu antara lain bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.
Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.
Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran “Sniper’ Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.  — DSA
Comments
Loading...