Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Maghribi Uji Patriot, Reaksi Balas Terhadap Penerimaan Su-35 dan Potensi Operasi Su-57 oleh Algeria

Ujian terhadap sistem pertahanan udara Patriot itu adalah selari dengan spekulasi mengatakan bahawa Maghribi yang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Algeria, sedang menimbangkan cadangan untuk memiliki sistem pertahanan udara itu.

0 6,827
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Maghribi dilaporkan telah bertindak segera dengan menguji sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat, berkemungkinan sebagai reaksi balasnya terhadap penerimaan pesawat pejuang Su-35 Flanker-E oleh negara jirannya Algeria baru-baru ini dan juga penerimaan pesawat pejuang generasi kelima, Su-57 pada tahun ini.
Ujian terhadap sistem pertahanan udara Patriot itu adalah selari dengan spekulasi mengatakan bahawa Maghribi yang tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Algeria, sedang menimbangkan cadangan untuk memiliki sistem pertahanan udara itu.
Gambar terbaharu yang tular di media sosial memaparkan tiga kenderaan yang dikaitkan dengan sistem pertahanan udara Patriot tersebut — khususnya unit Transporter Erector Launcher (TEL) — sedang diangkut menggunakan lori awam.
Media-media Maghribi menyatakan bahawa unit pertahanan udara Maghribi bakal menerima peningkatan ketara apabila sistem peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat telah tiba untuk ujian lapangan di pangkalan utama pertahanan udara Angkatan Tentera Diraja Maghribi di Salé, sekali gus menandakan langkah penting ke arah perolehan rasmi sistem berkenaan.
Ketibaan sistem pertahanan udara canggih itu, yang disahkan oleh beberapa sumber, merupakan kemuncak kepada rundingan rahsia selama bertahun-tahun antara Maghribi dan Amerika Syarikat.
Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Maghribi berhubung pergerakan tersebut, pemerhati pertahanan negara itu melihatnya sebagai petunjuk jelas bahawa Angkatan Tentera Diraja Maghribi berkemungkinan sedang mempertimbangkan perolehan sistem pertahanan udara Patriot berkenaan.
Patriot
Sistem pertahanan udara Patriot di lebuhraya di Maghribi
Sumber pertahanan turut memaklumkan bahawa peralatan itu dijangka akan menjalani ujian penilaian bagi memastikan kesesuaian operasinya dengan keperluan taktikal dan teknikal angkatan tentera Maghribi.
Asas kepada perolehan ini telah dibina sejak Januari 2021, apabila Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat mendedahkan minat Maghribi terhadap sistem tersebut.
“Maghribi merupakan pembeli terbesar senjata Amerika Syarikat di Afrika… Negara itu telah membeli sistem pertahanan udara Patriot dan pesawat rondaan G550,” menurut kenyataan rasmi pentadbiran berkenaan.
Naib Presiden bahagian sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Lockheed Martin pula mengesahkan bahawa Maghribi bakal memperoleh varian terkini sistem Patriot, iaitu PAC-3 MSE, dalam kenyataan awam yang dibuat pada tahun yang sama.
Perolehan ini dijangka akan memperkukuhkan lagi struktur pertahanan udara berlapis Maghribi, khususnya dalam menangani ancaman peluru berpandu ballistik.
Proses ujian yang dijalankan ini turut menyerupai pendekatan perolehan ketenteraan utama sebelum ini oleh Maghribi.
Patriot
MIM-104 Patriot
 Menurut laporan pemerhati pertahanan di Maghribi “Proses ini adalah sama seperti perolehan helikopter Apache, yang telah diuji di lapangan di Maghribi pada tahun 2016 sebelum perjanjian rasmi dimeterai, serta sistem peluru berpandu HIMARS yang menjalani beberapa siri ujian semasa latihan African Lion sebelum diperoleh secara rasmi.”
Awal bulan ini, Maghribi telah menerima kumpulan pertama enam buah helikopter tempur AH-64E Apache di Pangkalan Tentera Udara Diraja Salé.
Dalam majlis penyerahan itu, Jeneral Michael Langley, Komander US AFRICOM, menekankan pengaruh besar Maghribi di peringkat serantau.
“Tentera-tentera Afrika sedang memerhati anda dan menjadikan anda sebagai contoh,” katanya sambil menyifatkan Maghribi sebagai “rujukan dalam aspek pertahanan dan kestabilan.”
Baru-baru ini,  Algeria dilaporkan telah mula mengoperasi pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia Sukhoi Su-35, pada ketika negara itu juga muncul sebagai pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 Felon.
Tentera Udara Algeria melancarkan penerbangan latihan pertama menggunakan pesawat pejuang Su-35 daripada Pangkalan Udara Oum Bouaghi.
Su-57
Su-57
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenainya, tetapi Algeria dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Russia pada 2018 untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35 Flanker-E.
 Bagi Algeria, perolehan pesawat pejuang buatan Russiaa ini bukan sekadar menambah aset baru, tetapi juga memastikan tentera udara negara itu kekal berdaya saing.
 Ketika ini, lebih 70 unit Su-30MKA menjadi tulang belakang armada Tentera Udara Algeria.
Pesawat Su-30 yang diperoleh sejak 2006 merupakan antara yang tercanggih pada zamannya, memberikan Algeria kelebihan berbanding kebanyakan negara Afrika dan Arab, termasuk Maghribi, pesaing tradisinya.
Kehadiran Su-35S memperkukuhkan lagi keupayaan kuasa udara Algeria dengan enjin lebih berkuasa, sistem sensor lebih canggih, serta reka bentuk lebih halimunan.
Selain Su-35, stesen televisyen milik kerajaan Algeria telah pun mengesahkan bahawa negara  Afrika itu adalah pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 Felon.
Stesen televisyen Algeria itu menyatakan, “Juruterbang Algeria sedang menjalani latihan di Russia, dan penghantaran (pesawat pejuang Su-57) itu dijangka dilakukan tahun ini.”
Ia bagaimanapun tidak memberitahu jumlah pesawat pejuang Su-57 yang bakal diperolehi oleh Algeria serta kos perolehannya.
Su-35
“Su-35 Flanker-E”
Terdapat laporan daripada sumber-sumber tidak rasmi menyatakan bahawa Algeria mungkin pada peringkat awal memperoleh hanya enam unit pesawat pejuang Su-57.
Negara Afrika Utara itu telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang Su-57 sejak beberapa tahun lepas, dengan laporan media sebelum ini mendakwa bahawa Tentera Udara Algeria mahu memperolehi sejumlah 14 buah pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
Perolehan pesawat pejuang Su-57 oleh Algeria itu dikatakan adalah sebagai langkah menangani tindakan negara jirannya, Maghribi yang memperolehi pesawat pejuang F-16 Block 70/72 daripada Amerika Syarikat.
Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Maghribi yang mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Israel juga bercadang memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.