Tentera Russia Lukis Gambar “Pesawat” Di Pangkalan, Cuba Kelirukan Dron Ukraine
Pakar OSINT (Open Source Intelligence) Brady Africk telah berkongsi gambar satelit yang menunjukkan lukisan-lukisan pesawat pejuang di pangkalan tentera udara Russia, berkemungkinan besar untuk mengelirukan dron-dron Ukraine serta satelit pengintip Barat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usaha untuk cuba menipu dron-dron berani mati tentera Ukraine, Russia telah bertindak melukis imej-imej “pesawat pejuang” di pangkalan tentera udara miliknya di Crimea yang dijajahnya.
Pakar OSINT (Open Source Intelligence) Brady Africk telah berkongsi gambar satelit yang menunjukkan lukisan-lukisan pesawat pejuang di pangkalan tentera udara Russia, berkemungkinan besar untuk mengelirukan dron-dron Ukraine serta satelit pengintip Barat.
“Tentera Russia telah bertindak melukis imej menyerupai pesawat pejuang tentera di kawasan yang baru dibina di pangkalan udara Yeysk di Crimea,” menurut ciapan Africk dalam akaun Twitter miliknya baru-baru ini.
Beliau turut menyertakan gambar satelit pangkalan tentera udara yang diambil di antara 26 Jun hingga 16 Julai tahun ini.
Gambar satelit terbaru menunjukkan terdapat lima buah “pesawat pejuang” berbanding tiga pada gambar terdahulu.
“Lukisan pesawat-pesawat pejuang itu dibuat di dalam tempoh beberapa bulan di pangkalan itu, yang merupakan antara pangkalan yang digunakan oleh skuadron pesawat pejuang Tentera Udara Russia,” kata beliau.
Pangkalan udara itu terletak di bandar Yeysk di wilayah selatan Russia, Krasnodar berhampiran dengan Laut Azov di Semenanjung Crimea yang dijajah oleh Russia pada tahun 2014.
Africk memberitahu majalah Newsweek bahawa beliau mula mengesan lukisan-lukisan “pesawat” itu pada pertengahan bulan Jun dan ia berterusan sehingga bulan ini.
“Walaupun saya tidak dapat memastikan mengapa mereka melukis gambar pesawat-pesawat itu, namun sejak bermulanya konfik Russia-Ukraine pada Februari tahun lepas kedua-dua pihak menggunakan decoy untuk mengelirukan satu sama lain,” kata beliau.
Tentera Russia dilaporkan telah menggunakan decoy (umpan) sepanjang kempen ketenteraannya di Ukraine.
Comments are closed.