Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman, Amerika “Tanggal” Komponen Sensitif Dalam Senjata Mereka, Elak Ditawan Tentera Russia

Beberapa laporan media menyatakan bahawa Jerman dan Amerika Syarikat menyedari risiko peralatan dan  komponen ketenteraan mereka seperti kereta kebal dan kereta perisai ditawan oleh tentera Russia dan telah bertindak "menggantikan" peralatan yang sensitif itu dengan komponen-komponen yang telah usang dan lama.

3,586

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berbekalkan kereta-kereta kebal buatan Barat seperti Leopard dan Abrams (tidak lama lagi), tentera Ukraine berharap serangan balas musim bunganya yang dilancarkan baru-baru akan membuahkan hasil dalam merampas semula wilayah yang diduduki oleh Russia.

Bagaimanapun harapan tentera Ukraine untuk melihat kejayaan pada serangan balas itu bertukar suram apabila operasi serangan balas di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine berhadapan tentangan sengit tentera Russia, mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan pada kereta kebal dan kereta perisai buatan Barat itu.

Sejak daripada insiden itu, media-media Russia telah mengeluarkan video dan gambar-gambar kereta kebal dan kereta perisai seperti Leopard serta Bradley yang musnah akibat tentangan sengit oleh pihak Russia.

Leopard
Kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine dalam serangan balas di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

 

Tentera Russia juga menunjukkan video-video beberapa buah kereta kebal Leopard dan Bradley yang berjaya mereka “tawan” daripada tentera Russia.

Walaupun kereta-kereta kebal dan perisai Barat ini mengalami kerosakan, tetapi kebanyakkan sistemnya seperti komunikasi, enjin dan lain-lain masih lagi boleh beroperasi dengan baik, sekaligus memberi peluang perisikan kepada tentera Russia.

Pakar-pakar Russia sudah pasti akan melakukan “kajian” yang mendalam terhadap kereta-kereta kebal dan perisai Barat yang berjaya ditawan oleh mereka, namun usaha-usaha “kajian” itu juga sudah semestinya adalah rumit dan mengambil masa yang panjang.

Sebarang kelebihan yang akan diperolehi oleh tentera Russia selepas menawan kenderaan armor Barat itu akan memakan masa, sebelum ia diterjemahkan ke medan peperangan.

Beberapa laporan media menyatakan bahawa Jerman dan Amerika Syarikat menyedari risiko peralatan dan  komponen ketenteraan mereka seperti kereta kebal dan kereta perisai ditawan oleh tentera Russia dan telah bertindak “menggantikan” peralatan yang sensitif itu dengan komponen-komponen yang telah usang dan lama.

Laporan media itu memetik seorang leftenen pesara kolonel di dalam tentera Jerman dikenali dengan nama “Jurgen Rose” yang berkata bahawa ada di antara kereta kebal yang dihantar ke Ukraine telah dilengkapkan secara sengaja dengan peralatan-peralatan lama dan usang.

Leopard
Kereta kebal Leopard.

 

Rasional di sebalik tindakan oleh Jerman ini adalah untuk mengelak Russia daripada memperolehi sebarang maklumat tentang komponen dan peralatan canggih di dalam kereta kebal yang dibekalkan mereka kepada Ukraine.

Menurut pakar Jerman, tindakan menggantikan peralatan dan komponen baru dengan komponen usang itu bukan sahaja terhad pada kereta kebal tetapi juga merangkumi sistem persenjataan yang lain.

Semuanya atas alasan mahu mengelak sistem persenjataan itu ditawan oleh tentera Russia.

Tindakan oleh Jerman itu adalah selari dengan laporan media Amerika Syarikat baru-baru ini yang Washington telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Amerika berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine.

Bradley
Kenderaan IFV Bradley buatan Amerika di Ukraine

 

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika yang dipetik oleh akhbar USA Today berkata tindakan itu adalah untuk memastikan komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat itu tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia.

Amerika pada mulanya bercadang menghantar kereta kebal M1A2 Abrams, tetapi menukar kepada varian M1A1 yang kurang canggih berbanding varian selepas itu.

Kedua-dua varian kereta kebal itu menggunakan meriam 120mm yang sama tetapi varian M1A1 memiliki beberapa penambahbaikkan termasuk di dalam sistem pembidik sasarannya.

Sebagaimana sistem-sistem persenjataannya yang lain, Amerika “menyimpan” teknologi terkini untuk anggota tenteranya manakala untuk sekutu dan pelanggannya, ia memberikan teknologi yang tidak secanggih dimiliki oleh anggota tenteranya.

Pada Januari, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan rancangan untuk menghantar sebanyak 31 buah kereta kebal M1A2 Abrams ke Ukraine selepas diminta selama berbulan-bulan oleh Ukraine. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.