Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kabinet Putus Teruskan Pembinaan 6 Buah Kapal LCS TLDM

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal. Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan).

0 5,269

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan dengan sebulat suara untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 billion yang telah terbengkalai selama 43 bulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Pertahahan Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan malam ini.

Kabinet memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal perang TLDM yang terbengkalai selama beberapa ketika selepas mengambil kira dua faktor utama.

LCS

Faktor pertama adalah LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh TLDM.

“Ia bukan sahaja memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5 malah penting untuk meningkatkan kesiap-siagaan pasukan armada kita serta menambahbaik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

“Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya.

Faktor kedua adalah kerana terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

“Lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia. 90 peratus daripadanya ada hubung kait dengan veteran dan majoriti mereka berada di Lumut, Perak terutama pekerja berkemahiran, pakar serta ahli keluarga mereka,” katanya.

LCS

Keputusan ini merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia, isteri, anak serta ahli keluarga mereka.

“Saya ambil maklum, vendor-vendor ini mengikuti rapat perkembangan usaha menyelesaikan isu LCS ini dan mereka pastinya gembira dengan keputusan ini.

“…dengan keputusan ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak. Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya,” katanya.

Komitmen besar kata Menteri Pertahanan adalah untuk memastikan segala ketirisan sebelum ini tidak berulang.

Beliau mahukan semua pihak yang terlibat kali ini, khususnya Boustead Naval Shipyard (BNS) diterajui pengurusan baru mesti memainkan peranan masing-masing dengan telus dan bertanggungjawab.

LCS

“Kelulusan Kabinet ini hanyalah peringkat permulaan yang baik namun terdapat beberapa lagi langkah ke hadapan untuk melengkapkan Pelan Pemulihan antaranya ‘Proses Mobilisasi’ dalam tempoh enam bulan mendatang yang akan melibatkan rundingan antara bank, vendor dan pihak OEM.

Tidak terkecuali katanya adalah rundingan dengan pihak Perancis daripada segi reka bentuk dan komitmen Kerajaan Perancis.

Beberapa hari lepas, Perancis telah menyatakan komitmennya untuk meneruskan projek pembinaan enam buah kapal LCS TLDM berdasarkan kepada perjanjian asal, walaupun projek bernilai RM9 bilion itu berhadapan kelewatan  selama 43 bulan.

Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague berkata, penglibatan dua syarikat di dalam projek pembinaan kapal perang itu, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan Naval Group (dahulu DCNS) daripada Perancis perlu dikekalkan.

Beliau menaruh keyakinan yang tinggi bahawa projek pembinaan enam buah kapal perang termoden TLDM bernilai RM9.128 bilion itu akan dapat disiapkan tanpa sebarang masalah sebaik sahaja diteruskan semula.

LCS
Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Apa yang saya boleh beri­tahu, projek ini akan diteruskan sehingga tamat dengan pengli­batan Perancis walaupun penyer­taan syarikat kami hanyalah kecil.

“Kami mahu siapkan projek. Tambahan pula ia ada adalah kerjasama Malaysia menerusi syarikat BNS dengan penglibatan secara kecil daripada syarikat Perancis, Naval Group. Kedua-dua syarikat akan terlibat dan itu adalah perjanjiannya,” katanya dalam temuramah dengan akhbar tempatan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Kabinet juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang bakal dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

“Jawatankuasa ini ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh enam bulan mendatang dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet pada setiap bulan.

“Saya ingin tegaskan, keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja,” katanya. — DSA

Comments
Loading...