Perolehan 18 Pesawat LCA Diteruskan, “Secepat Mungkin” Jika Boleh
Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” mahukan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang memerintah negara ketika ini dapat mengabsahkan keputusan perolehan 18 buah pesawat LCA yang dibuat oleh jemaah Menteri kerajaan sebelum ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perolehan 18 buah pesawat tempur ringan (Light Combat Aircraft – LCA) yang telah diluluskan secara dasarnya akan diteruskan dan dilakukan “secepat mungkin”, jikalau boleh, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” mahukan jemaah menteri kerajaan perpaduan yang memerintah negara ketika ini dapat mengabsahkan keputusan perolehan 18 buah pesawat LCA yang dibuat oleh jemaah Menteri kerajaan sebelum ini.
“Perolehan pesawat tempur ringan (LCA) masih kekal 18 dan kalau boleh secepat mungkin, tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” katanya sebagaimana dipetik media tempatan selepas melawat Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan turut hadir dalam lawatan itu.
Kementerian Pertahanan menurut beliau, juga akan melihat keutamaan dan cadangan untuk menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia membabitkan peruntukan yang besar.
“Kita hendak melengkapkan apa yang sepatutnya kita ada dan apa yang perlu dinaiktarafkan (pesawat),” katanya.
Tender bagi perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA itu telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan ditutup pada 6 Oktober 2021.
Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan pada 17 Mac 2022 juga telah memutuskan petender yang disenarai pendek.
Perolehan 18 buah LCA itu adalah untuk menggantikan pesawat MiG-29N, Hawk 100 dan Hawk 200 serta Aermacchi MB-339 yang digunakan oleh TUDM.
Defence Security Asia melaporkan sebelum ini bahawa pasukan teknikal daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah pun selesai menjalankan penilaian fizikal terhadap pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).
Penilaian fizikal serta ujian penerbangan pesawat itu telah berlangsung dengan lancar di Korea Selatan pada Oktober tahun lepas.
“KAI (FA-50) is able to achieve all requirement dari TUDM,” menurut sumber terbabit kepada Defence Security Asia, sambil menambah bahawa proses penilaian meliputi aspek pengesahan dokumen tender, certification dan aspek penilaian penerbangan pesawat FA-50 itu.
Sumber memberitahu Defence Security Asia bahawa kumpulan pegawai penilai TUDM itu tiba di Korea Selatan pada 17 Okt dan telah dibawa ke kemudahan KAI untuk memulakan penilaian fizikal mereka terhadap pesawat pejuang ringan itu.
“Mereka turut meninjau kemampuan pesawat FA-50 itu menerusi sesi penilaian penerbangan,” kata sumber itu dan menambah bahawa pesawat FA-50 itu adalah milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF).
Pegawai-pegawai TUDM itu mengunjungi pangkalan udara 8th Fighter Wing di Wonju, Gangwo-do.
“Fasa penilaian fizikal (pesawat FA-50) telah selesai dan mereka (pasukan penilaian fizikal TUDM) melaksanakan penilaian penerbangan di Wonju,” kata sumber itu kepada Defence Security Asia.
Dalam penilaian penerbangan itu, pegawai TUDM turut dibawa menaiki pesawat FA-50 milik Tentera Udara Korea Selatan.
Fasa penilaian penerbangan itu menggunakan pesawat FA-50 Block 10 milik ROKAF memandangkan pesawat FA-50 Block 20 itu masih dibangunkan oleh KAI dengan Poland sebagai pengguna pertamanya.
Selain pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI), pencabar-pencabar terdekat bagi perolehan itu termasuklah “Tejas” yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan “Hurjet” oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Turut menyatakan minat untuk menyertai persaingan dalam tender TUDM itu termasuklah MiG-35, M-346FA daripada Leonardo, Gripen daripada Saab Group dan YAK-130 “Mitten”. — DSA
OM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.