Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kementerian Pertahanan Letak Radar Jarak Jauh Di Pulau Layang-Layang

"Radar Jarak Jauh di Pulau Layang-Layang itu akan membantu kita melihat apa-apa pergerakan yang berlaku di luar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita itu," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat hari ini.

0 14,216

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kementerian Pertahanan akan meletakkan Radar Jarak Jauh (LRR – Long Range Radar) di Pulau Layang-Layang milik negara yang terletak di dalam Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang menjadi rebutan banyak negara.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Radar Jarak Jauh di Pulau Layang-Layang itu akan membantu kita melihat apa-apa pergerakan yang berlaku di luar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita itu,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Perolehan Radar Jarak Jauh untuk diletakkan di Pulau Layang-Layang itu telah pun diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, kata beliau.

Penempatan sebuah Radar Jarak Jauh di Pulau Layang-Layang itu akan membantu tugas pemantauan dan pengawasan Radar Jarak Jauh di Labuan pada ketika ini, kata beliau.

Layang-Layang
Stesen LIMA Pulau Layang-Layang

 

Pulau Layang-Layang di Laut China selatan itu terletak kira-kira 162 Batu Nautika daripada barat laut Kota Kinabalu, yang jelas menunjukkan ia adalah milik Malaysia mengikut United Nations Conventionon the Law of the Sea (UNCLOS 1982).

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga menempatkan anggota tenteranya di Stesen LIMA di Pulau Layang-Layang itu.

Sebagaimana yang kita ketahui, Kepulauan Spratly yang dikatakan kaya dengan minyak dan gas itu adalah “panas” dengan beberapa negara serantau seperti China, Vietnam dan Filipina mendakwa keseluruhan kawasan kepulauan itu atau sebahagiannya adalah hak milik mereka.

China sebagai contohnya, telah menjadikan beberapa terumbu karang di Kepulauan Spratly sebagai pangkalan tenteranya, dengan menempatkan pesawat-pesawat tentera, kemudahan radar dan komunikasi serta kapal-kapal perang.

Tahun lepas, Defence Security Asia telah menulis satu artikel berdasarkan kepada kertas kerja oleh penyelidik tentera Jepun Lt Kol Aita Moriki di Japan Air Self Defense Force (JASDF) Center for Air and Space Power Strategic Studies (CASPSS).

Dalam kertas kerjanya itu, Lt Kol Aita mengatakan bahawa Pulau Layang-Layang milik Malaysia di Kepulauan Spratly itu berkemungkinan dijadikan salah satu sasaran oleh tentera China, sebagaimana ketika ia melaksanakan latihan airborne melibatkan 16 buah pesawat pengangkut tentera negara itu berhampiran Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei 2021.

PASKAL
Anggota PASKAL ketika latihan misi penyusupan di Stesen Lima, Terumbu Layang-Layang pada Oktober lepas.(ATM)

 

Dalam latihan airborne yang melibatkan 16 pesawat pengangkut IL-76 dan Y-20 itu milik China itu, pegawai tentera Jepun itu mendakwa Beijing dipercayai mensasarkan penawanan landasan-landasan kapal terbang yang terdapat di Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Taiping diduduki Taiwan, Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

Lt Kol Aita seorang penyelidik di CASPSS juga merupakan juruterbang dan bekas Komander 302nd Tactical Fighter Squadron, JASDF.

Dalam kertas kerja bertajuk “ The True Meaning of the Chinese Air Force’s Flying Transport Aircraft Near Malaysia: Airborne Units in Power Projection “, beliau berkata, tentera China sedang merancang melaksanakan operasi airborne melibatkan pengguguran anggota tentera payung terjun di keempat-empat pulau yang masih belum dikuasainya di Laut China Selatan.

Operasi airborne oleh tentera China itu melibatkan anggota payung terjunnya digugurkan untuk menawan landasan kapal terbang yang terdapat di pulau-pulau di Laut China Selatan terdiri daripada Pulau Taiping  (Taiwan), Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

Pesawat-pesawat pengangkut tentera China dipercayai telah melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran pulau-pulau terbabit pada 31 Mei 2021,  bagi membiasakan mereka keadaan persekitaran di pulau-pulau itu (sama ada pulau semulajadi atau pulau-pulau buatan manusia)

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei 2021. (kredit TUDM)
TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

“Untuk tujuan itu, berkemungkinan krew-krew pesawat pengangkut tentera China berlatih melakukan profil penerbangan dalam formasi in-trail dipisahkan sejauh 60 batu nautika, membiasakan diri mereka dengan keadaan topografi sekeliling.”

“Ini adalah misi oleh formasi pesawat-pesawat tentera China itu,” menurut  Lt Kol Aita di dalam kertas kerjanya itu.

Penerbangan 16 buah pesawat China menghampiri ZMM itu boleh disifatkan sebagai “China Blitzkrieg” bertujuan untuk menawan landasan kapal terbang di pulau-pulau terbabit yang masih belum dikuasai oleh China di Laut China Selatan termasuk Pulau Layang-Layang.

Beliau berkata “China Blitzkrieg” ini boleh berlaku pada waktu aman bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak mengagak tindakan yang bakal diambil oleh China.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan pada 1 Jun 2021 iaitu sehari selepas kejadian menggemparkan itu berkata,  ia telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...