Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dengan AI, Dron Berani Mati Russia “Lancet” Kini Bedil Sasarannya Secara Otonomi

Jikalau sebelum ini, dron berani mati itu dikawal oleh anggota tentera Russia daripada jauh tetapi laporan terbaru mengatakan dron “Lancet” itu kini beroperasi secara otonomi tanpa sebarang kawalan daripada manusia dalam mengesan, mengenalpasti dan membedil sasarannya dengan sendiri.

0 7,698

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Sepanjang konflik di antara Russia dan Ukraine, dron berani mati (kamikaze) “Lancet” yang dibangunkan oleh syarikat Russia, ZALA Aero telah menunjukkan prestasi yang amat baik di medan peperangan.

ZALA Aero merupakan anak syarikat kepada Kalashnikov Concern, syarikat pembuat senjata terkenal Russia.

Dron berani mati “Lancet” itu amat digeruni oleh tentera Ukraine dan kini senjata itu menjadi lebih berbahaya selepas dinaiktaraf oleh syarikat pembuatnya dengan melengkapkannya dengan kemampuan Artificial Intelligence (AI).

Jikalau sebelum ini, dron berani mati itu dikawal oleh anggota tentera Russia daripada jauh tetapi kini laporan terbaru mengatakan dron “Lancet” itu kini beroperasi secara otonomi tanpa sebarang kawalan daripada manusia menerusi kemampuan AI miliknya.

Dalam ertikata sebenarnya, dron berani mati keluaran ZALA Aero itu kini boleh mengesan, mengenalpasti dan membedil sasarannya sendiri tanpa sebarang campurtangan atau kawalan daripada pengendalinya.

Lancet

Baru-baru ini, video telah tersebar di media-media sosial menunjukkan sebuah dron berani mati “Lancet” telah membedil sistem roket RM-70 dan meriam bergerak Dana 152mm buatan Republik Czech yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Video yang tersebar itu dilaporkan telah diambil sendiri oleh kamera dron “Lancet” itu ketika ia menghampiri sasarannya, membuktikan bahawa dron berani mati itu kini beroperasi secara otonomi dalam mengesan, mengenalpasti dan membedil sasarannya.

Jika terbukti, maka dron berani mati “Lancet” itu telah mencapai kemampuan baru yang menjadikannya lebih menggerunkan bagi anggota tentera Ukraine.

Bernilai hanya US$35,000 (RM157,000) sebuah, Russia menggunakan dron berani mati “Lancet” itu untuk memusnahkan senjata-senjata milik Ukraine yang harganya jauh lebih mahal seperti sistem artilleri dan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Sebelum ini banyak video-video telah tersebar di media sosial menunjukkan keberkesanan dron berani mati “Lancet” itu dalam memusnahkan sistem-sistem artilleri buatan Kesatuan Soviet dan negara-negara Barat M777, Paladin dan sistem artileri bergerak KRAB buatan Poland.

Lancet
Dron berani mati  “Lancet” membedil pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Ukraine.

 

Malah dron berani mati Russia itu juga bertanggungjawab memusnahkan sistem pertahanan udara tentera Ukraine seperti S-300 dan juga kereta-kereta kebal Leopard.

Awal bulan ini, dron berani mati “Lancet” itu dilaporkan telah berjaya membedil sebuah pesawat pejuang Su-25 milik tentera Ukraine yang berada kira-kira 60 km daripada barisan hadapan tentera Ukraine.

Serangan dron berani mati Russia terhadap pesawat pejuang Su-25 milik Tentera Udara Ukraine itu berlaku di Pangkalan Udara Dolgintsevo di wilayah Dnipropetrovsk, yang jelas menunjukkan bahawa Russia telah berjaya meningkatkan jarak dron berani mati itu.

Dengan peningkatan jarak dron berani mati “Lancet” itu, ia akan membolehkan Russia menyerang lebih banyak sasaran tentera Ukraine.

Sebelum ini, syarikat pembuat dron berani mati Russia itu, ZALA Aero menyatakan bahawa senjata itu berkemampuan untuk terbang dan menyerang sasarannya pada jarak di antara 60km hingga 110km.

Lancet
Kemudahan pembinaan dron berani mati “Lancet”

 

Serangan terhadap pesawat pejuang Su-25 milik tentera Ukraine itu merupakan insiden kedua dimana dron “Lancet” Russia itu juga telah berjaya membedil sebuah pesawat pejuang MiG-29 milik tentera udara negara itu yang diletakkan di pangkalan udara yang sama.

Menurut Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu, sebanyak 45 peratus daripada kelengkapan tentera Ukraine terutamanya sistem artilleri yang dibekalkan oleh negara-negara NATO telah dimusnahkan oleh dron berani mati “Lancet” sejak konflik tercetus pada Februari tahun lepas.

Sumber-sumber tentera Russia sebagaimana dipetik oleh media negara itu mengatakan bahawa dron berani mati bertanggungjawab terhadap kemusnahan 80 peratus sistem artilleri bergerak M109 Paladin dan 25 peratus daripada meriam M777 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...