Kuwait Terima UCAV Bayraktar TB2, Gandakan Keupayaan Serangan Ketepatan Tinggi
Majlis penyerahan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Kuwait, Sheikh Abdullah Ali Abdullah Al-Sabah, yang menegaskan bahawa pemerolehan sistem dron canggih itu merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh aspek pemantauan, risikan dan serangan ketepatan tinggi oleh angkatan tenteranya.
Dalam satu majlis penuh bersejarah di Pangkalan Udara Salem Al-Sabah, Angkatan Tentera Kuwait secara rasmi telah menerima sistem pesawat udara tanpa pemandu tempur (UCAV) Bayraktar TB2, menandakan lonjakan strategik dalam keupayaan pertahanan dan kesiapsiagaan negara itu.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Kuwait, Sheikh Abdullah Ali Abdullah Al-Sabah, yang menegaskan bahawa pemerolehan sistem dron canggih itu merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh aspek pemantauan, risikan dan serangan ketepatan tinggi oleh angkatan tenteranya.
“Ini merupakan satu langkah penting dalam pembangunan keupayaan ketenteraan Kuwait, khususnya dalam bidang pemantauan, peninjauan dan pengumpulan maklumat risikan,” kata Sheikh Abdullah ketika berucap dalam majlis tersebut.
Pemerolehan dron Bayraktar TB2 oleh Kuwait ini dibuat melalui satu perjanjian bernilai AS$370 juta (sekitar RM1.75 bilion) yang ditandatangani pada tahun 2023 dengan syarikat pertahanan aeroangkasa Turkiye, Baykar.
Pakej lengkap yang dibekalkan merangkumi 18 unit Bayraktar TB2, tiga Stesen Kawalan Darat (GCS), sistem simulator lanjutan untuk latihan pengendali serta 1,800 unit peluru berpandu mini pintar MAM-L buatan Roketsan.
Daripada jumlah nilai kontrak tersebut, sebanyak AS$90 juta (RM426 juta) diperuntukkan untuk pesawat udara itu sendiri, manakala baki AS$280 juta (RM1.32 bilion) diperuntukkan untuk peluru berpandu ketepatan tinggi, memperlihatkan fokus Kuwait terhadap keupayaan serangan taktikal.
Semasa majlis tersebut, Angkatan Tentera Kuwait turut mengadakan demonstrasi penerbangan langsung yang menunjukkan keupayaan operasi dron TB2 dari segi jangka masa penerbangan, kebolehan menjejak sasaran dan keberkesanan tembakan dalam suasana padang pasir dan ribut pasir yang sering berlaku di rantau itu.

Baykar dalam kenyataan rasmi menerusi saluran media sosial syarikat memaklumkan bahawa Bayraktar TB2 telah berjaya mencatat penerbangan tanpa henti selama 27 jam 3 minit dalam keadaan cuaca mencabar di ruang udara Kuwait, sekaligus membuktikan keandalannya di persekitaran yang ekstrem.
Kuwait mula menunjukkan minat terhadap dron tempur ini seawal tahun 2019 apabila wakil negara itu memulakan rundingan dengan Baykar selepas menyaksikan keberkesanan TB2 dalam pelbagai konflik termasuk di Syria, Libya, Nagorno-Karabakh, Ethiopia dan konflik Rusia-Ukraine.
Keupayaan TB2 yang terbukti dalam pelbagai medan peperangan menyebabkan negara-negara yang berdepan ancaman ketenteraan mula menilai semula keperluan platform dron yang murah tetapi berkeupayaan tinggi.
Dengan perasmian rasmi oleh Kuwait, negara itu kini menjadi pengendali ke-28 dron tempur Bayraktar TB2, menyertai barisan negara-negara seperti Ukraine, Azerbaijan, Qatar, Pakistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Niger, Ethiopia dan Poland.
Bayraktar TB2 dibangunkan oleh Baykar di bawah kepimpinan teknikal Selçuk Bayraktar dan kini dianggap antara sistem dron tempur paling berpengaruh dalam dunia ketenteraan moden.
Pembangunan TB2 bermula sekitar tahun 2007 sebagai sebahagian usaha Turkiye untuk mencapai kedaulatan dalam industri pertahanan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi UAV asing.
Selepas penerbangan sulungnya pada tahun 2014, TB2 segera dimasukkan ke dalam inventori Angkatan Tentera Turkiye dan menjadi tulang belakang operasi risikan dan serangan ketepatan rendah kos di Syria dan Libya.

Kejayaan paling menonjol TB2 ialah dalam konflik Nagorno-Karabakh 2020 apabila Azerbaijan menggunakan dron ini secara besar-besaran untuk menghancurkan sistem pertahanan udara, artileri dan kereta kebal Armenia, sekaligus menukar kedudukan strategik medan tempur dalam masa kurang dari 50 hari.
Dalam konflik Ukraine pula, TB2 berjaya memusnahkan konvoi bekalan Rusia, sistem SAM mudah alih seperti Pantsir-S1 serta kemudahan logistik dan pusat kawalan, memperlihatkan keberkesanan dron ini walaupun dalam kawasan berancaman tinggi.
Walaupun terdapat percubaan oleh pihak lawan menggunakan peperangan elektronik dan sistem gangguan, TB2 masih sukar dipintas kerana profil radar yang kecil, keupayaan berlegar di altitud sederhana serta boleh dilancarkan dalam formasi bersebaran.
Sehingga pertengahan 2025, Baykar telah menghantar lebih 500 unit TB2 ke seluruh dunia dan menjadikan ia antara dron tempur paling berjaya dari segi eksport global.
Tambahan pula, status TB2 yang tidak tertakluk kepada sekatan eksport ITAR Amerika Syarikat membolehkannya dijual secara lebih fleksibel ke pasaran dunia berbanding platform Barat seperti MQ-9 Reaper.
Kos yang jauh lebih rendah turut menjadikannya pilihan utama negara membangun dan berpendapatan sederhana yang mahu meningkatkan kuasa udara mereka tanpa perlu membelanjakan berbilion dolar.
Spesifikasi Teknikal Bayraktar TB2:
-
Pengeluar: Baykar (Turkiye)
-
Kategori: Pesawat Tanpa Pemandu Tempur MALE (Medium Altitude Long Endurance)
-
Panjang: 6.5 meter
-
Rentang Sayap: 12 meter
-
Berat Maksimum Berlepas: 700 kg
-
Kapasiti Muatan: 150 kg (4 point luaran)
-
Enjin: 1 x Rotax 912 (100 kuasa kuda)
-
Kelajuan Pelayaran: 70–120 knot (130–220 km/jam)
-
Altitud Operasi: 18,000 – 25,000 kaki (5,500 – 7,620 meter)
-
Endurance: 27 jam
-
Jarak Kawalan (LOS): 150 km
-
Avionik: Berautonomi penuh termasuk berlepas, mendarat dan taxi
-
Sensor: EO/IR, Laser Designator, SAR (pilihan)
Sistem Senjata:
-
MAM-L: 22 kg, berpandu laser, jarak 8 km
-
MAM-C: 6.5 kg, sesuai untuk sasaran lembut
-
MAM-T (pilihan): Versi terkini dengan jarak lebih jauh
-
Lain-lain: Roket berpandu laser dan misil anti-kereta kebal (ATGM)