Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kumpulan Pemberontak Dakwa Berjaya Tembak Jatuh Helikopter Milik Tentera Myanmar

Menurut kumpulan pemberontak itu, helikopter tentera itu berjaya ditembak di wilayah Momauk yang terletak di utara negara itu.

0 2,543

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan pemberontak Myanmar, Kachin Independence Army (KIA) mendakwa telah berjaya menembak jatuh sebuah helikopter milik tentera Myanmar selepas berlakunya pertempuran sengit antara kedua-dua pihak hari ini.

Menurut kumpulan pemberontak itu, helikopter tentera itu berjaya ditembak kira-kira 10 pagi waktu tempatan  di wilayah Momauk, Kachin State yang terletak di utara negara itu.

Seorang penduduk mengesahkan dakwaan bahawa helikopter tentera Myanmar berjaya ditembak jatuh, mengatakan helikopter itu terkena tembakan di bahagian ekornya dan jatuh berhampiran sebuah kampung.

Tentera Udara Myanmar menggunakan helikopter bersenjata Mil Mi-35.

KIA dan tentera Myanmar telah terlibat dalam konflik insurgensi sejak hampir 10 tahun.

Asap Hitam
Asap hitam menyelubungi kawasan kampung di Momauk di mana helikopter tentera Myanmar terhempas akibat ditembak kumpulan pemberontak Kachin Independence Army (KIA).

 

Hampir kesemua pertempuran berlaku di utara Myanmar, di mana pemberontak KIA mempunyai kekuatannya. Sejak akhir-akhir ini, tentera Myanmar telah menggunakan kekuatan udara dalam serangan ke kubu-kubu KIA.

“Mereka (tentera Myanmar) telah menggunakan jet-jet pejuang dan helikopter bersenjata sejak 8 pagi hari ini untuk menyerang anggota kami. Anggota tentera kami telah melakukan serangan balas dan menerusi cara inilah kami berjaya menembak jatuh helikopter itu,” menurut jurucakap KIA Col Naw Bu ketika dipetik sebagai berkata oleh agensi berita, AFP hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedah jenis sistem persenjataan yang digunakan untuk menjatuhkan helikopter milik Tentera Myanmar itu.

KIA
Anggota kumpulan pemberontak, Kachin Independence Army (KIA).

 

Agensi berita AFP telah menghubungi tentera Myanmar untuk mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan KIA itu tetapi tidak berjaya.

Beberapa kumpulan pemberontak Myanmar seperti KIA telah membuat kenyataan menyokong gerakan pro-demokrasi dengan menawarkan tempat perlindungan dan latihan kepada mereka yang melarikan diri daripada kekejaman tentera.

Sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari lalu, seramai 765 penduduk negara itu telah dibunuh oleh anggota tentera manakala 4,500 ditahan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...