Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Satelit Pengintip Korea Utara Dakwa Ambil Gambar Rumah Putih, Kapal Pengangkut Pesawat Amerika

Agensi berita Korea Utara “Korean Central News Agency” (KCNA) juga mendakwa satelit pengintip itu telah mengambil gambar-gambar kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Carl Vinson yang sedang berlabuh di sebuah pangkalan laut di Busan, Korea Selatan.

0 2,436

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas dilancarkan, Korea Utara mendakwa satelit pengintip miliknya dinamakan “Malligyong-1” telah mengambil gambar-gambar lokasi sensitif milik Amerika Syarikat termasuk Rumah Putih yang merupakan kediaman rasmi Presiden Jo Biden.

Selain itu, agensi berita Korea Utara “Korean Central News Agency” (KCNA) juga mendakwa satelit pengintip itu telah mengambil gambar-gambar kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Carl Vinson yang sedang berlabuh di sebuah pangkalan laut di Busan, Korea Selatan.

“Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un turut melihat gambar-gambar pangkalan tentera laut dan udara Amerika di Pearl Harbour dan Hickam di Honolulu, Pulau Hawaii apabila satelit itu melintasi Hawaii pada 5.13 pagi (waktu Pyongyang),” menurut agensi berita itu.

Sebelum itu pemimpin Korea Utara itu telah melawat General Control Center of the National Aerospace Technology Administration (NATA) di Pyongyang untuk mempelajari operasi berkenaan satelit pengintip itu.

Agensi berita Korea Utara itu juga mendakwa satelit pengintip negara itu turut mengambil gambar-gambar pangkalan tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Satelit
Gambar satelit Rumah Putih (gambar hiasan)

 

Gambar-gambar pangkalan tentera yang diambil oleh satelit Korea Utara itu adalah Mokpo, Gunsan, Pyeongtaek, Osan dan Seoul.

“Pyeongtaek adalah lokasi kepada Kem Humphreys, penempatan terbesar kepada anggota tentera Amerika Syarikat di luar negara. Selain itu pangkalan-pangkalan tentera Amerika juga terletak di Gunsan dan Osan di Korea Selatan,” kata KCNA.

Walaupun KCNA tidak mengeluarkan sebarang gambar satelit yang didakwa telah dilihat oleh Kim Jong-un, namun jika dakwaan agensi berita itu adalah benar, maka, ia bermakna bahawa satelit pengintip “Malligyong-1” yang dilancarkan pada 21 Nov lalu berfungsi dengan baik.

Agensi berita Pyongyang itu memberitahu bahawa satelit pengintip itu memerlukan tempoh selama 62 jam selepas ia berada di orbit untuk “penyesuaian” sebelum ia berkemampuan untuk mengambil gambar-gambar sensitif melibatkan “musuh-mushnya.”

Dalam satu lagi laporan yang dikeluarkan oleh KCNA, ia berkata bahawa pemimpin Korea Utara itu telah melakukan lawatan kedua ke NATA untuk melihat gambar-gambar lokasi sensitif di Inhae, Busan, Ulsan, Pohang, Daegu dan Gangneung.

Carl Vinson
Kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson.

 

Pada 21 Nov lalu, Korea Utara berjaya menempatkan satelit pengintip pertamanya ke orbit selepas beberapa beberapa kegagalan.

Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional Korea Utara berkata satelit Malligyong-1 dilancarkan dari kemudahan pelancaran satelit Sohae pada 10.42 malam (13:42 GMT) dan memasuki orbit pada pukul 10.54 malam (1:354 GMT).

Kim Jong-un secara peribadi menyelia pelancaran satelit pengintip itu.

Pelancaran satelit pengintip “Malligyong-1” berjaya dilakukan selepas Kim Jong-un melakukan lawatan rasmi ke ke Rusia pada September  laluyang menyaksikan hubungan antara kedua-dua negara diperingkatkan, termasuk dalam sektor pertahanan.

Satelit
Kim Jong-un dalam lawatan ke NATA.

 

Ia menimbulkan spekulasi yang menyatakan bahawa Russia memberikan bantuan teknikal dalam memastikan satelit pengintip Korea Utara itu berjaya dilancarkan.

Satelit Malligyong-1 itu dilancarkan di atas roket, Chollima-1 di Tapak Pelancaran Satelit Sohae di kawasan Cholsan dekat wilayah Phyongan Utara.

Sebanyak dua pelancaran satelit Korea Utara pada Mei dan Ogos lepas menemui kegagalan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...