Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Masalah Penyelenggaraan Sebabkan 37 Peratus Kapal Selam Amerika Gagal Beroperasi Tahun Ini

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat sendiri, daripada 49 buah kapal selam nuklear yang dimiliki oleh negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri iaitu sebanyak 19 peratus akibat faktor selenggaraan.

0 1,238

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Masalah penyelenggaraan yang berpanjangan telah menyebabkan 37 peratus daripada keseluruhan jumlah kapal-kapal selam nuklear milik negara kuasa besar itu gagal menjalankan operasinya, menurut data terbaru yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kapal-kapal selam itu tidak boleh menjalani penyelenggaran kerana limbungan kapal Amerika Syarikat tidak mampu menampung bebanan kerja yang terlalu banyak.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat sendiri, daripada 49 buah kapal selam nuklear yang dimiliki oleh negara itu pada ketika ini, sebanyak 18 buah atau 37 peratus tidak dapat beroperasi pada 2023, jauh lebih tinggi daripada amalan industri iaitu sebanyak 19 peratus akibat faktor selenggaraan.

Ia adalah suatu angka yang tinggi berbanding 28 peratus pada 2017 dan 33 peratus pada 2022 kapal selam nuklear Amerika yang tidak dapat beroperasi akibat masalah penyelenggaraan.

Tahun terbaik adalah pada 2015 di mana hanya 19 peratus kapal selam Amerika Syarikat atau 10 buah daripada 53 buah kapal selam yang dimilikinya pada ketika itu tidak dapat beroperasi akibat diselenggara.

USS Ohio
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Satu contoh melibatkan kapal selam USS Connecticut —  yang terlibat dalam insiden melanggar gunung bawah laut (sea mountain) di Laut China Selatan pada 2021.

Sebelas orang krew kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Connecticut (SSN-22) mengalami kecederaan selepas kapal selam itu terlanggar gunung dasar laut terbabit di suatu lokasi tidak didedahkan di Laut China Selatan.

Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober 2021 ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan itu.

Sejurus selepas kemalangan itu, USS Connecticut telah belayar balik menggunakan kuasanya sendiri ke Guam, yang merupakan pangkalan tentera laut utama Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

Kapal selam berkuasa nuklear itu diisytiharkan tidak mampu beroperasi sehingga pada awal tahun 2026, memandangkan ia tidak mempunyai limbungan kapal yang berkelapangan untuk diperbaiki.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Menurut laporan lagi, antara sebab utama kegagalan aspek penyelenggaran adalah disebabkan kekurangan pekerja dan kemudahan di limbungan kapal serta masalah rangkaian bekalan.

Kelewatan dalam aspek penyelenggaran itu telah menyebabkan penurunan dalam kapasiti untuk memenuhi keperluan misi harian, sekaligus meningkatkan lagi tekanan terhadap operasi kapal-kapal selam Amerika Syarikat.

Menurut pakar-pakar, statistik menunjukkan tahap ketidaksiapsiagaan Tentera Laut Amerika Syarikat dalam berhadapan dengan potensi konflik bersenjata dengan China adalah “tidak berapa baik.”

Institut Tentera Laut Amerika Syarikat pada Mei lepas menyatakan bahawa Tentera Laut China dijangka akan meningkatkan bilangan kapal-kapal perangnya kepada 440 buah kapal menjelang pada tahun 2030.

Kapal Selam
USS Connecticut

 

Pada masa yang sama, Tentera Laut Amerika Syarikat hanya memiliki 290 buah kapal perang pada 2030.

Simulasi peperangan dengan China yang dijalankan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan badan-badan pemikir antarabangsa menunjukkan bahawa Washington tidak bersedia untuk berhadapan konfik bersenjata dengan China pada ketika ini. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...