Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Aerospace Tawar Malaysia Program Kolaborasi Industri Bernilai RM1.2 Billion

Tawaran "Industrial Collaboration Program" (ICP) oleh Korea Aerospace Industries kepada Malaysia jika dilaksanakan akan menjadikan negara sebagai hub serantau untuk pesawat FA-50/T-50 yang turut digunakan oleh beberapa tentera udara di Asia Tenggara.

0 14,901

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita tahu, pihak Korea Aerospace Industries (KAI) telah menawarkan beberapa projek kerjasama teknologi dinamakan “Industrial Collaboration Program” (ICP) kepada Malaysia sekiranya pesawat FA-50 Block 20 dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa dan pertahanan Korea Selatan itu dipilih sebagai pemenang tender pesawat FLIT/LCA TUDM.

Ia adalah tawaran yang amat menarik berkisar kepada kerjasama teknologi tinggi antara dua negara, dengan nilai keempat-empat program kolaborasi industri yang ditawarkan oleh KAI kepada kerajaan Malaysia itu dianggarkan mencecah RM1.2 bilion.

“Dengan kos keseluruhan program (perolehan pesawat FLIT/LCA) berjumlah hampir RM4 billion, Industrial Collaboration Program (ICP) yang ditawarkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries  untuk kerajaan Malaysia bernilai RM1.2 billion,” menurut Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kemalak Systems Sdn Bhd  Mej (B) Mohd Iswandi Mohd Sharif kepada Defence Security Asia.

Kemalak Systems merupakan rakan tempatan kepada KAI.

KAI merupakan salah satu syarikat antarabangsa yang menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan sebanyak 18 buah pesawat FLIT/LCA bagi TUDM.

FA-50

Sebagaimana yang Defence Security Asia telah nyatakan sebelum ini, tawaran ICP atau program Program Kolaborasi Industri di antara syarikat KAI dengan  kerajaan Malaysia itu meliputi empat bidang kerjasama penting.

Pertamanya melibatkan tawaran oleh KAI untuk mewujudkan kemudahan “final assembly line” pesawat FA-50 Block 20 di Malaysia sendiri, yang sekiranya menjadi kenyataan akan menjadikan negara ini sebagai satu-satunya lokasi pemasangan akhir bagi pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) di luar Korea Selatan.

Tenaga-tenaga pakar tempatan yang terdiri daripada juruterbang, jurutera dan petugas teknikal tempatan akan dihantar ke Korea Selatan untuk menjalani latihan, proses pembelajaran dan pemasangan pesawat nombor satu hingga pesawat nombor empat.

“Apabila selesai, pesawat nombor lima hingga pesawat nombor 18 akan mula dipasang oleh tenaga-tenaga mahir tempatan sambil dibantu oleh sejumlah besar kakitangan KAI di Malaysia,” menurut Mohd Iswandi.

Uji terbang untuk proses Certification Of Airworthiness (COA) akan turut dilaksanakan oleh juruterbang tempatan bersama juruterbang KAI.

FA-50

KAI katanya, akan turut menempatkan tenaga mahir mereka di kemudahan final assembly pesawat FA-50 itu di Malaysia.

Beliau juga berkata, pihaknya bersama-sama KAI telah pun mengenalpasti beberapa lokasi kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50, dengan Kuantan menjadi antara lokasi di dalam kajian mereka.

Menurut Mohd Iswandi lagi, tawaran kedua di bawah ICP kepada kerajaan Malaysia pula melibatkan usaha mewujudkan pusat Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO) bagi pesawat itu di Malaysia.

“Pemilihan Malaysia bertujuan untuk menjadikan negara sebagai hub pemasangan, research and development (R&D) dan MRO di rantau ini, dimana jumlah pengguna pesawat T50/TA-50/FA-50 adalah tinggi sekaligus mampu mengurangkan kos untuk jangka panjang.”

“Fokus utama kami adalah untuk bermula dengan langkah kecil untuk masa ini sehingga kita masuk ke fasa maturity.”

“Untuk fasa kedua, mungkin kami akan mula perbesarkan skop kerja merangkumi manufacturing,” jelas Mohd Iswandi  sambil menambah bahawa tawaran oleh KAI kepada Malaysia itu akan akan melonjakkan lagi penguasaan teknologi tinggi oleh negara, selain menwujudkan peluang-peluang ekonomi yang lain.

FA-50

Memandangkan terdapat beberapa pengguna pesawat terbabit di rantau Asia Tenggara, maka Malaysia boleh menjadi hub kepada pesawat itu.

“Dengan peningkatan jumlah pesawat KAI di rantau Asia Tenggara,  adalah menjadi harapan kami agar Malaysia menjadi hub untuk MRO dan lain-lain program pembangunan pesawat FA-50 melibatkan kepakaran tenaga tempatan.”

“Kami berpandangan adalah menjadi kerugian sekiranya program ini direbut oleh pemain-pemain industri daripada Indonesia, Thailand mahupun Filipina yang turut menggunakan pesawat FA-50 dan T-50,” kata Mohd Iswandi.

FA-50

Selain tawaran berkenaan kemudahan final assembly dan MRO, dua lagi tawaran oleh KAI kepada Malaysia melibatkan kerjasama membangunkan Full Mission Simulator dan Counter Trade yang akan kita ulas pada artikel lain.

Walauapapun, keputusan akhir adalah ditangan pihak kerajaan Malaysia.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...