Komander “Liaoning” Disiasat Kerana Membenarkan Kapalnya Dihampiri Rapat Kapal Perang Amerika?
Dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada 4 April lepas di Laut Filipina, kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin” (DDG-89) hanya berada 1.7 batu nautika daripada “Liaoning.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Komander kapal pengangkut pesawat China “Liaoning” dilaporkan sedang disiasat oleh pihak berkuasa tentera laut negara itu kerana membiarkan kapalnya didekati begitu hampir oleh kapal perang Amerika Syarikat.
Dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada 4 April lepas di Laut Filipina, kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin” (DDG-89) hanya berada 1.7 batu nautika daripada “Liaoning.”
Gambar menunjukkan betapa kedudukan “USS Mustin” berada sangat hampir dengan “Liaoning” telah pun tersebar di seluruh dunia, sebelum pihak Pentagon menarik balik gambar terbabit.
Gambar itu menunjukkan komander USS Mustin Robert Briggs dan Pegawai Eksekutif kapal terbabit Richard Slye bersahaja memantau kapal pengangkut pesawat China itu daripada kedudukan beberapa ribu meter sahaja.
Briggs dilihat berada di dalam keadaan yang amat relaks, duduk sambil kakinya diletakkan di atas pagar besi di bahagian bridge kapal itu.
Penganalisis kanan di Institute for National Defense and Security di Taiwan Su-Tzu Yun dipetik berkata oleh Channel News Asia bahawa pengedaran gambar yang menunjukkan anggota tentera laut Amerika Syarikat memantau kapal perang China dalam keadaan yang amat “relaks itu sebenarnya memberikan mesej yang penting.
Mesejnya adalah Tentera Laut Amerika Syarikat “tidak peduli langsung” tentang keberkesanan kombat kapal pengangkut pesawat China itu.
Beliau berkata, kapal pengangkut pesawat seperti “Liaoning” sepatutnya diiringi oleh kapal-kapal friget di kedua-dua bahagian sisinya, tetapi di dalam kes ini, tidak kelihatan kapal-kapal terbabit di antara Liaoning dengan USS Mustin.
“Ia sebenarnya mendedahkan “Liaoning” kepada serangan,” kata Su sambil mendakwa bahawa gambar itu mendedahkan kemampuan sebenar “Liaoning” yang masih terhad dan memerlukan masa dan usaha yang lebih bagi membolehkan ia bersaing dengan Amerika Syarikat.
Sementara itu bekas kapten kapal korvet Taiwan “Xinjiang” Lu Li-shih dipetik sebagai berkata oleh akhbar South China Morning Post bahawa keadaan relaks kedua-dua pegawai tentera Amerika Syarikat itu menunjukkan mereka memandang ringan kemampuan PLAN.
Beliau juga berkata pengedaran gambar yang memalukan China dan tentera lautnya itu adalah sebahagian daripada “Peperangan Kognitif” (Cognitive Warfare) untuk menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak menganggap China sebagai ancaman.
Peperangan Kognitif ini merujuk kepada elemen-elemen Information Warfare (IW).
Sementara itu seorang penyelidik yang berpengkalan di Beijing mengakui bahawa jurang di antara kemampuan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan China adalah amat besar.
Sila join group/channel Telegram Defence Security Asia di https://t.me/DefSecAsia atau channel di https://t.me/DefSecAsia1