KM Tabah Ambilalih Tugas “Shadow” Kapal China Di Beting Patinggi Ali
Bagaimanapun pada 1 Februari lepas, tugas memantau kapal pengawal pantai China, CCG 5303 di Beting Patinggi Ali itu telah diambilalih oleh kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Tabah, yang merupakan kapal peronda kelas-Gagah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak 22 Januari lepas, kapal peronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Kelantan telah berada di sekitar perairan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) untuk memantau (shadow) pergerakan kapal pengawal pantai China CCG 5303 yang menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Bagaimanapun pada 1 Februari lepas, tugas memantau kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali itu telah diambilalih oleh kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Tabah, yang merupakan kapal peronda kelas-Gagah.
Maklumat tentang tugas “shadow” kapal China oleh kapal KM Tabah itu telah dinyatakan oleh ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell menerusi ciapannya dalam akaun Twitter @GordianKnotRay
Powell juga merupakan bekas Kolonel dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.
Kapal KM Tabah yang memiliki berat sekitar 230 tan dan sepanjang 39 meter merupakan bekas kapal peronda kelas PZ yang memasuki perkhidmatan Polis Marin pada 1980, sebelum diserahkan secara berperingkat kepada APMM bermula pada 2005.
Keseluruhannya, sebanyak 15 buah kapal kelas-PZ milik Polis Marin telah diserahkan kepada APMM.
Tugasan KM Tabah di Beting Patinggi Ali adalah getir kerana ia akan memantau pergerakan kapal pengawal pantai China CCG 5303 yang saiznya adalah jauh lebih besar berkali-ganda jika dibandingkan dengan kapal peronda milik APMM itu.
Kapal pengawal pantai CCG 5303 yang berada di Beting Patinggi Ali itu adalah daripada kapal peronda Type 818 kelas-Zhaoduan yang memiliki panjang 134 meter dan dilengkapi dengan meriam kaliber 76mm.
Kapal peronda sepanjang 39 meter memantau kapal peronda sepanjang 134 meter.
Jikalau kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) “Tun Fatimah” siap dibina sebagaimana dijadualkan pada tahun lepas, maka tugasnya memantau perairan sekitar Beting Patinggi Ali sepatutnya dipikul oleh kapal terbabit yang saiznya adalah lebih besar dan berat berbanding kapal-kapal APMM yang lain.
Kapal OPV “Tun Fatimah yang memiliki berat sekitar 1,800 tan dan panjang 83 meter itu sepatutnya dilancar ada 13 September tahun lepas.
Ia boleh berada di lautan selama 21 tanpa ulang bekal.
Pada 2017,kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat usahasama tempatan untuk membekalkan tiga buah kapal OPV berdasarkan rekabentuk Damen 1800 kepada APMM.
Kapal pengawal pantai China terbabit, CCG 5303 telah berada di kawasan perairan Beting Patinggi Ali sejak 12 Januari lalu untuk menganggu kerja-kerja explorasi gas dan minyak yang sedang giat dilakukan oleh beberapa syarikat di kawasan perairan terbabit.
Kapal pengawal pantai China,CCG 5303 itu bukanlah asing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan sekitar Beting Patinggi Ali kerana ia kerapkali “bertugas” di kawasan EEZ Malaysia itu untuk menguatkuasakan apa yang didakwanya sebagai “hak-hak maritim China.”
Sebagai contohnya, pada Julai 2021 kapal CCG 5303 telah dikesan berada di Lapangan Gas Kasawari berhampiran Beting Patinggi Ali dipercayai untuk menganggu operasi bot-bot bekalan milik syarikat tempatan yang terlibat dalam kerja-kerja di lapangan gas itu.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Dalam satu laporan oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington baru-baru ini, kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di beberapa lokasi Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali hampir setiap hari sepanjang tahun lepas.
“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.
Beting Patinggi Ali terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.
Beting ini dikatakan berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly. — DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.