Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Nasib Kapal Pengangkut Pesawat Toksik Brazil, “Sao Paulo”

Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Brazil, "Sao Paulo" yang berusia 60 tahun itu terlibat dalam kontroversi berikutan bahan-bahan toksik di kapal itu sehingga “menakutkan” beberapa negara dari membenarkan kapal itu memasuki perairan mereka. Kerajaan Brazil bercadang menenggelamkan “Sao Paulo”, sekaligus menjadikan kapal perang sebagai “sampah” terbesar perairan dunia.

0 2,187

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Brazil bercadang menenggelamkan kapal pengangkut pesawatnya “Sao Paulo” seberat  34,000 tan di perairan negara itu selepas percubaan menjualnya kepada beberapa pelanggan tidak berjaya.

Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Brazil yang berusia 60 tahun itu terlibat dalam kontroversi berikutan bahan-bahan toksik di kapal itu sehingga “menakutkan” beberapa negara dari membenarkan kapal itu memasuki perairan mereka.

Selepas tiada lagi jalan keluar, kerajaan Brazil bercadang menenggelamkan “Sao Paulo”, sekaligus menjadikan kapal pengangkut pesawat itu sebagai “sampah” terbesar perairan dunia.

Sao Paulo

Kapal pengangkut pesawat Brazil itu pada mulanya dijual pada sebuah limbungan kapal di Turki sebagai besi buruk pada 2021.

“Sao Paulo” belayar ke Turki pada Ogos 2022 daripada kemudahan tentera laut negara itu di Rio de Janeiro.

Bagaimanapun ketika dalam pelayaran menuju ke Turki, pihak berkuasa negara Mediterranean itu mengubah keputusannya berikutan kegagalan Brazil menunjukkan bukti bahawa kapal perang berusia itu tidak membawa bahan toksik asbestos yang digunakan dalam pembinaan kapal-kapal pada abad ke-20.

Berikutan keputusan pihak berkuasa Turki itu, kapal pengangkut pesawat “Sao Paolo” berpatah balik ke Brazil, namun negara Amerika Selatan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengambil kembali kapal perang “toksik” itu.

Malah, pelabuhan di negeri Pernambuco di Brazil juga enggan memberikan kebenaran kepada kapal perang itu untuk berlabuh kerana bimbang akan bahan toksik di dalam kapal itu serta kesannya terhadap alam sekitar.

Akibat daripada tindakan itu, kapal pengangkut pesawat itu berlayar tanpa sebarang tujuan di perairan Brazil selama lima bulan, sebelum kerajaan Brazil mengumumkan pada 20 Januari lepas bahawa “Sao Paulo” kini berada di perairan antarabangsa.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Tentera Laut Brazil mengakui bahawa ia tidak mempunyai pilihan lain, berikutan keadaan kapal itu yang sudah berusia itu memungkinkan ia karam di perairan negara itu dan membahayakan kapal-kapal lain selain alam sekitar.

Ia kini menimbangkan kemungkinan untuk membiarkannya sahaja di perairan, sebelum bertindak menggunakan bahan letupan untuk menenggelamkan “Sao Paulo”.

Bagaimanapun aktivis alam sekitar tidak bersetuju dengan tindakan Tentera Laut Brazil itu kerana meletup dan menenggelamkan kapal pengangkut pesawat itu akan “membebaskan” kira-kira sembilan tan bahan toksik asbestos dan bahan kimia berbahaya lain di dalam perairan.

Aktivis alam sekitar di Brazil menyatakan bahawa tindakan menenggelamkan kapal perang berusia itu di perairan bakal mengundang bencana alam sekitar, dengan pihak berkuasa negara itu dipersalahkan kerana mengambil tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.

Kementerian Alam Sekitar Brazil juga bimbang akan bahaya bahan toksik asbestos dalam kapal itu dan membidas tindakan Tentera Laut negara itu.

Bagaimanapun Tentera Laut Brazil berkeras bahawa ia berkemampuan untuk mengendalikan isu “perlupusan” kapal pengangkut pesawat “Sao Paulo” itu. — DSA

Comments
Loading...